Tuntutan semula WTD cecah RM3.4 billion sehingga 31 Mei 2023

Jumlah tuntutan semula WTD terkumpul adalah sebanyak RM3.4 billion sehingga 31 Mei 2023. - Gambar hiasan
Jumlah tuntutan semula WTD terkumpul adalah sebanyak RM3.4 billion sehingga 31 Mei 2023. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat pada Jumaat diberitahu jumlah tuntutan semula Wang Tidak Dituntut (WTD) terkumpul adalah sebanyak RM3.4 billion sehingga 31 Mei 2023.

Menurut Kementerian Kewangan, bilangan permohonan tuntutan WTD telah meningkat dua kali ganda berbanding tahun 2022 bagi tempoh yang sama sekali gus menunjukkan peningkatan kesedaran rakyat ke atas wang tak dituntut.

"Baki sehingga 31 Mac 2023 adalah berjumlah RM11.0 billion dan sehingga 31 Mei 2023 adalah berjumlah RM11.5 billion.

Serahan WTD yang diterima pada tahun 2023 sehingga 31 Mei 2023 adalah RM1.3 bilion dan ia menunjukkan peningkatan sebanyak 18 peratus berbanding tahun 2022, bagi tempoh yang sama," menurut kementerian dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan sidang Dewan Rakyat pada 13 Jun yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, pada Jumaat.

Kementerian itu menjawab soalan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terenganu) yang ingin tahu sejauh mana usaha kerajaan untuk memastikan orang awam menuntut semula WTD bagaimana kerajaan menggunakan faedah yang diperoleh sebanyak RM250 juta hasil pelaburan WTD dalam simpanan tetap.

Menurut kementerian, peningkatan tuntutan semula disebabkan oleh pelaksanaan operasi penguatkuasaan pematuhan Akta Wang Tak Dituntut 1965 ke atas syarikat dan firma di seluruh negara.

Sementara itu, berdasarkan akta berkenaan (Akta Wang Tak Dituntut 1965) WTD yang telah mencapai 15 tahun akan dipindahkan ke Akaun Hasil Disatukan dan semua yang dipindahkan ke Akaun Hasil Disatukan dibelanjakan bagi tujuan perbelanjaan operasi dan perbelanjaan pembangunan negara berdasarkan bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri selaras dengan Akta Tatacara Kewangan 1957.

"Manakala sebahagian besar baki yang diakaunkan di Akaun Amanah Disatukan telah dilaburkan dalam Simpanan Tetap selaras dengan Akta Tatacara Kewangan 1957. Hasil daripada pelaburan tersebut diakaunkan ke Akaun Hasil Disatukan bagi tujuan yang sama," katanya.

Bagaimanapun, menurut kementerian, bagi WTD yang telah dipindahkan ke Akaun Hasil Disatukan atau Akaun Amanah Disatukan, permohonan tuntutan WTD masih boleh dituntut tanpa tempoh akhir dan pemohon yang berhak boleh membuat permohonan tuntutan pada bila-bila masa.

Selain itu, hebahan WTD juga dibuat melalui media massa, laman web rasmi Jabatan Akauntan Negara Malaysia serta program-program bertemu pelanggan telah diadakan sepanjang tahun bermula dari tahun 2017 sehingga kini bagi memberi kesedaran sekali gus menggalakkan tuntutan WTD oleh orang awam.

Kementerian Kewangan berkata faedah yang terima diakaunkan ke Akaun Hasil Disatukan bagi tujuan perbelanjaan operasi dan perbelanjaan pembangunan negara selaras dengan Akta Tatacara Kewangan 1957. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!