Segera laksanakan reformasi institusi
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kumpulan Rentas Parti Parlimen Integriti, Governans dan Anti Rasuah (KRPPM-IGAR) pada Khamis, mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bagi membincangkan kerjasama parti dan langkah untuk merealisasikan pelaksanaan reformasi institusi berkenaan dalam Kerajaan Perpaduan.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin berkata, pertemuan yang berlangsung di Parlimen itu, antaranya memberi tumpuan kepada kebebasan institusi dalam menjalankan pendakwaan, jaminan keselamatan pemberi maklumat dalam proses pencegahan rasuah, dan struktur undang-undang bagi mengawal ketirisan yang merugikan negara.
“Alhamdulillah, reformasi institusi yang dicadangkan melalui kumpulan ini mendapat kerjasama positif pelbagai parti politik yang menganggotai kumpulan tersebut yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.
“Saya percaya penglibatan setiap parti secara proaktif akan memastikan mandat rakyat tertunai dan dapat dilaksanakan dengan segera dan efisien, dan negara kita dilihat mampu pulih menerusi reformasi institusi ini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua Pasukan #RasuahBusters, Datuk Hussamuddin Yaacub; wakil Yayasan Cerdik, Shah Hakim Zain; Presiden Ikram, Badlishah Sham Baharin; Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah Yee Lynn; Pengurus IDEAS, Aira Azhari; ahli Parlimen mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) selaku anggota KRPPM, Roy Anak Gingkoi dan Rodiyyah Sapiee.
Tambahnya, komitmen yang diberikan oleh Kerajaan Perpaduan menerusi parti-parti terlibat dan para pemegang taruh secara langsung akan mendorong pemulihan keadilan ekonomi dan sosial di Malaysia.
Jelasnya, lapan reformasi institusi telah dibincangkan bersama Fadillah yang juga merupakan Ketua Whip GPS dan besar harapannya agar ia dapat dilaksanakan kelak.
“Antaranya adalah berhubung, pemisahan kuasa Peguam Negara dan pendakwa raya; pindaan Akta SPRM 2009; pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010; pindaan Akta Suruhanjaya Kehakiman 2009; penggubalan Akta Perolehan; penggubalan Akta Pendanaan Politik; reformasi Parlimen dan pelaksanaan penuh Pelan Anti Rasuah Nasional,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!