Akta Anti-Menghendap elak gangguan emosi, trauma

Laporan Sinar Harian pada 14 Jun lalu.
Laporan Sinar Harian pada 14 Jun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyifatkan Akta Anti-Menghendap dan perintah perlindungan dikuat kuasa pada 31 Mei lalu merupakan suatu usaha baik dalam membantu mengelakkan gangguan emosi dan trauma kepada mangsa.

Pesuruhjaya Suhakam, Ragunath Kesavan berpandangan, perlunya wujud undang-undang spesifik bagi menjadikan tindakan menghendap sebagai satu kesalahan sekali gus menangani isu sedemikian daripada berlaku kepada orang ramai khususnya wanita.

Menurutnya, menghendap mempunyai dua cara iaitu menggunakan media sosial dengan berniat meninggalkan komen tidak baik dan cuba berkomunikasi secara menakutkan selain mengekori mangsa sehingga ke rumah serta tempat kerja.

“Kebiasaan kebanyakan kes berlaku melibatkan perbalahan antara suami isteri atau pasangan kekasih di mana satu belah pihak lagi tidak mahu lepaskan. Jadi pelaku ini menggunakan sebarang cara bagi membuatkan mangsa berasa tertekan atau takut.

“Dengan adanya akta dikuat kuasa ini lebih mudah mengambil tindakan terhadap sesiapa yang melakukan perbuatan sedemikian walaupun pelaku itu memberitahu tidak melakukan gangguan fizikal kepada mangsa namun ia menimbulkan gangguan emosi dan trauma kepada pihak terlibat.

“Suhakam mengalu-alukan serta menyambut baik penguatkuasaan akta tersebut kerana ia memberi manfaat baik kepada masyarakat terutama wanita untuk mendapat perlindungan sewajarnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Rabu, media melaporkan Akta Anti-Menghendap dan perintah perlindungan telah mula berkuat kuasa pada 31 Mei lalu melalui notis daripada Jabatan Peguam Negara.

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) berkata, melalui akta tersebut, seksyen baharu 507A mendefinisikan menghendap sebagai satu kelakuan berulang kali dengan apa-apa tindakan gangguan, berniat untuk menyebabkan, mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan, merisaukan, menakutkan dan mencemaskan seseorang.

Pada Mac lalu, Dewan Rakyat meluluskan pindaan ke atas Kanun Keseksaan dan Kanun Acara Jenayah, bagi menjadikan tindakan menghendap sebagai satu kesalahan.

RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 yang memperincikan kesalahan menghendap dan jenis hukuman yang boleh dikenakan serta RUU Kanun Acara Jenayah (Pindaan) 2023 berhubung peruntukan perlindungan kepada mangsa, diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Sementara itu, Ragunath berkata, perkara penting adalah cara untuk memastikan bahawa tindakan susulan perlu diambil sekiranya mangsa mengalami situasi diganggu berikutan tindakan menghendap tersebut.

“Kena beri penerangan kepada masyarakat tentang apa itu menghendap, apa tindakan perlu dibuat sekiranya berlaku kepada mereka malah pihak polis juga bersedia untuk hadapi isu sebegini seperti membuka kertas siasatan dan sebagainya.

“Hebahan kempen perlu dilaksanakan bagi memastikan mangsa mengetahui hak mereka selain berani untuk membuat laporan polis dan aduan sekiranya menjadi mangsa perbuatan menghendap berkenaan,” ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!