Budak 5 tahun maut dilanggar Lamborghini dipandu YouTuber
ROM - Seorang budak lelaki maut, manakala ibu dan kakaknya cedera selepas kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Lamborghini Urus dalam kejadian di selatan Itali.
Lapor agensi berita ANSA, SUV mewah itu dipandu seorang lelaki dan empat rakannya yang sedang merakam kandungan untuk dimuat naik ke media sosial.
Tiga daripada pemuda tersebut merupakan YouTuber daripada saluran Theborderline yang memiliki 600,000 pengikut.
Tambah laporan itu, video tersebut dirakam bagi kandungan YouTube cabaran 50 jam duduk di dalam Lamborghini Urus.
Insiden itu berlaku di kawasan kejiranan Casal Palocco, Rom pada Rabu lalu.
Mangsa dikenali sebagai Manuel Proietti, 5, dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Saya berada di dalam rumah apabila terdengar bunyi dentuman yang kuat dan selepas itu orang ramai mula bergegas ke jalan raya.
"Seorang lelaki cuba memberi pernafasan mulut ke mulut terhadap mangsa yang tidak sedarkan diri," kata Lucia, warga emas yang tinggal beberapa meter dari lokasi nahas.
Susulan itu, pemandu SUV berusia 20 tahun disiasat kerana membunuh, manakala empat lagi rakannya disiasat bersubahat menyebabkan kematian.
"Kerana kebodohan orang lain hilang nyawa," kata Menteri Pengangkutan, Matteo Salvini. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!