Mangsa kebuluran ajaran sesat di Kenya meningkat kepada 336
NAIROBI - Sebanyak 10 lagi mayat ditemukan ketika polis menjalankan operasi penggalian di Hutan Shakahola Kenya, menjadikan angka kematian mangsa kebuluran kumpulan ajaran sesat meningkat kepada 336.
Jumlah mangsa yang ramai menyebabkan Menteri Dalam Negeri, Kithure Kindiki, memohon maaf dan mengakui bahawa pihak berkuasa sepatutnya dapat mencegah kematian-kematian itu.
"Saya ingin memohon maaf kepada rakyat Kenya hari ini seperti yang dilakukan oleh presiden kami. Adalah jelas bahawa terdapat kelalaian dalam rejim kerajaan sekarang dan sebelum ini yang menyebabkan kematian ramai rakyat di Shakahola," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataannya.
Operasi mengeluarkan mayat yang memasuki fasa ketiga dua minggu lalu, telah ditangguhkan sementara bagi menjalankan autopsi ke atas mayat yang dijumpai.
Beratus-ratus mayat ditemukan di Hutan Shakahola sejak April semasa siasatan dijalankan ke atas kultus yang diketuai Pastor Paul Nthenge Mackenzie.
Mackenzie dituduh mengarahkan pengikut-pengikutnya untuk berlapar supaya mereka dapat masuk ke syurga sebelum kiamat.
Siasatan mendapati beberapa mangsa kehilangan organ mereka, yang menimbulkan kecurigaan tentang perdagangan organ manusia. - Bernama/Anadolu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!