Tong gas oksigen meletup: Dua beranak ditidurkan, stabil

Keadaan kereta dinaiki tiga beranak meletup pada Selasa lalu.
Keadaan kereta dinaiki tiga beranak meletup pada Selasa lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Tiga beranak yang melecur dalam kejadian kereta terbakar dan meletup di Taman Industri Ringan Sri Mergong, di sini pada Selasa masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, Tuah Omar, 54, yang melecur sebanyak 70 peratus dan anaknya, Muhamad Firdaus Syawal Abdullah, 5, yang melecur 60 peratus dalam keadaan stabil dan sedang ditidurkan.

"Tuah dan isterinya, Noor Azlina Abu Bakar, 34, yang melecur 30 peratus dirawat di Unit Kebakaran HSB.

"Kanak-kanak lelaki itu pula dirawat di Wad Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HSB," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan tiga beranak itu datang ke sebuah premis di lokasi kejadian untuk mengisi dua tong gas oksigen untuk kegunaan bantuan pernafasan bagi kegunaan sendiri.

Bagaimanapun, kedua-dua tong gas tersebut dipercayai meletup secara tiba-tiba sehingga mengakibatkan tiga beranak itu melecur apabila kenderaan jenis Proton Wira dinaiki mereka terbakar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!