Tak sempat daftar universiti, remaja maut kereta langgar treler
KAMPAR - Seorang remaja yang dalam perjalanan untuk mendaftar masuk ke universiti maut selepas kereta dinaiki bersama ahli keluarganya melanggar sebuah treler dalam kejadian kemalangan di KM301.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan pada Sabtu.
Difahamkan, mangsa yang maut, Muhammad Zweill Haikal Ghazali, 18, bersama abangnya, Muhammad Darweiss Ghazali, 20, dari Pulau Pinang itu sepatutnya mendaftar di sebuah universiti di Cyberjaya hari ini.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 7 pagi membabitkan kereta jenis Proton Savvy dinaiki lima individu dengan sebuah treler jenis Volvo FM11.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan berkenaan dari arah Ipoh menuju ke Kuala Lumpur ketika kejadian kemalangan tersebut berlaku.
"Apabila sampai di tempat kejadian, kereta berkenaan disyaki gagal dikawal sebelum melanggar bahagian belakang sebelah kanan treler yang sedang bergerak di lorong sebelah kiri.
"Akibat dari kejadian ini, mangsa yang merupakan penumpang belakang maut di tempat kejadian dan kesemua mangsa yang cedera di hantar ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, pemandu kereta, Muhammad Danial Haikal Ghazali, 24, mengalami pendarahan di perut dan tidak sedarkan diri manakala penumpang hadapan yang merupakan ibu mangsa, Asnoni Othman, 49, mengalami patah peha kiri turut tidak sedarkan diri.
Jelasnya, dua lagi penumpang di belakang, Muhammad Darweiss dan Muhammad Uwaiss Ryeqal Ghazali, 10, hanya mengalami kecederaan ringan manakala pemandu treler tidak mengalami kecederaan.
Mohamad Nazri berkata, kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tapah bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!