PKBM sambut baik hasrat Harrif sertai skuad trek kebangsaan

Harrif (tengah) menjadi antara tonggak utama kekuatan TSG ketika ini.
Harrif (tengah) menjadi antara tonggak utama kekuatan TSG ketika ini.
A
A
A

PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menyambut baik hasrat jaguh lebuh raya, Mohd Harrif Saleh yang menyatakan kesediaannya memperkuat skuad trek jika khidmatnya diperlukan.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, Harrif mempunyai potensi untuk membarisi skuad trek bersandarkan pengalaman luas dimiliki pakar pecut negara itu.

“Secara peribadi saya melihat Harrif sebagai seorang pelumba yang luar biasa. Dia juga seorang pelumba yang cukup berpengalaman terutamanya dalam saingan lebuh raya.

“Buktinya dia memenangi perlumbaan jelajah di luar negara termasuk di Eropah. Malah, dia memenangi beberapa peringkat Le Tour de Langkawi (LTdL) selain meraih pingat emas Sukan SEA.

“Jadi saya amat mengalu-alukan kesediaan Harrif. Cuma buat masa ini sudah tentu dia terikat dengan tugasannya bersama pasukan TSG (Terengganu Cycling Team),” kata Abu Samah pada Jumaat.

Terdahulu, pelumba berusia 34 tahun kelahiran Terengganu itu menyatakan kesediaannya untuk menabur bakti bersama skuad trek kebangsaan sekiranya khidmatnya diperlukan.

Namun, pada masa sama, Harrif atau lebih mesra disapa Mamat mengakui tumpuan utamanya ketika ini adalah bersama TSG memandangkan dia sudah mencipta nama dalam saingan lebuh raya lebih sedekad.

Harrif mencuri tumpuan peminat lumba basikal tempatan apabila dia membuat penampilan pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023 di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan Khamis lalu.

Biarpun hanya membuat persiapan dalam tempoh dua minggu, Harrif tetap berpuas hati dengan pencapaiannya yang menamatkan acara elimination (perlumbaan penyingkiran) di tangga kelapan daripada 15 pelumba.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!