Penunggang Ducati maut: Suspek lawan arus dakwa tersesat jalan

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

AMPANG JAYA - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki yang mengakibatkan kemalangan maut melibatkan penunggang Ducati dalam kemalangan di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) susur Hulu Klang di sini Rabu lalu mendakwa telah tersesat jalan sebelum menunggang secara melawan arus.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek merupakan warga tempatan berumur 41 tahun yang menetap di Kajang bagaimanapun telah membuat laporan polis berkaitan kemalangan tersebut pada Jumaat.

"Siasatan mendapati suspek dalam perjalanan dari Ampang untuk pulang ke rumah di Kajang, telah tersesat dan buat keputusan untuk memasuki jejambat Lebuhraya SUKE dengan melawan arus sehingga kemalangan berlaku," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, suspek yang juga peniaga kedai makan turut mengalami kecederaan selepas terjatuh setelah motosikalnya dipercayai bergesel dengan motosikal ditunggang mangsa.

"Suspek kemudiannya terus pulang ke rumah dan hanya mengetahui kes berlaku setelah menonton berita dan hebahan di media sosial.

"Selain itu, suspek turut patah di bahagian bahu kanan, patah jari kelingking, luka di bahu kiri dan kaki kanan akibat kemalangan itu," katanya.

Menurutnya, motosikal jenis Yamaha yang ditunggang suspek bersama beberapa barangan lain turut dirampas bagi siasatan lanjut dan setakat ini pihak polis telah merekodkan enam rakaman percakapan saksi termasuk lelaki terbabit.

Tangkap layar rakaman CCTV memaparkan suspek dipercayai menunggang motosikal secara melawan arus sebelum kemalangan maut di KM22.2 Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (SUKE) susur Hulu Klang Rabu lalu.
Tangkap layar rakaman CCTV memaparkan suspek dipercayai menunggang motosikal secara melawan arus sebelum kemalangan maut di KM22.2 Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (SUKE) susur Hulu Klang Rabu lalu.

Sementara itu katanya, motosikal suspek dan motosikal mangsa akan dihantar ke Puspakom dan Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Pada Rabu, seorang lelaki maut selepas tercampak dari motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya sebelum jatuh dari jambatan di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) susur Hulu Klang di sini.

Mangsa, Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64, menunggang motosikal jenis Ducati Panigale melalui jalan berselekoh dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal lain yang melawan arus.

Mangsa kemudian melanggar penghadang sebelah kiri jalan, sebelum tercampak dan terjatuh ke bawah jambatan pada ketinggian kira-kira 30 meter.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!