Peluang Modric julang Croatia
PEMAIN berpengalaman, Luka Modric berpeluang memimpin Croatia untuk meraih trofi utama sulung apabila akan membuat perhitungan dengan Sepanyol pada final Liga Negara-Negara di Belanda pada Isnin.
Biarpun diselubungi teka-teki mengenai masa depannya di pentas antarabangsa dan bersama kelab, Real Madrid apabila 'hayatnya' akan berakhir bulan ini, namun ia bukan penghalang buat pemain berusia 37 tahun itu mencipta kejutan.
Sudah pasti kapten Croatia itu mahu menggembirakan empat juta penduduk negaranya menerusi kejayaan di Rotterdam.
Croatia mempamerkan aksi menakjubkan di pentas antarabangsa sejak 25 tahun lalu, bermula dengan penamat tempat ketiga pada Piala Dunia 1998.
Mereka kemudian mara ke final Piala Dunia 2018, namun dikecewakan Perancis dan sekali lagi menghuni tempat ketiga di Qatar tahun lalu.
“Kami sekali lagi menjadi kuasa besar dalam bola sepak. Di sebalik semua masalah, kami mempunyai kualiti dan perwatakan,” kata jurulatih Croatia, Zlatko Dalic.
Modric yang membuat penampilan sulung antarabangsa pada tahun 2006, beraksi buat kali ke-165 ketika menentang Belanda di separuh akhir.
Dia menyempurnakan sepakan penalti untuk membantu Croatia mara ke final Liga Negara-Negara dengan kemenangan 4-2 pada masa tambahan.
“Kami hanya perlu bertenang dan bijak. Tidak tergesa-gesa ke mana-mana, ketika cuba untuk meraih trofi.
“Itulah harapan besar saya... gangsa, perak dan emas,” ujar Dalic.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!