[VIDEO] Susu formula mahal: KPDN minta pengusaha beri laporan harga

Tinjauan Salahuddin mendapati harga susu formula bayi dan kanak-kanak dijual pada kadar berpatutan.
Tinjauan Salahuddin mendapati harga susu formula bayi dan kanak-kanak dijual pada kadar berpatutan.
A
A
A

LUMUT - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meneliti isu kenaikan harga susu formula bayi dan kanak-kanak di pasaran.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pengusaha diminta untuk menyediakan laporan pergerakan harga produk berkenaan bagi tempoh enam bulan untuk membolehkan pihaknya mengambil tindakan lanjut.

"KPDN mengambil perhatian terhadap harga susu bayi dan kanak-kanak yang dikatakan mahal dan hasil tinjauan di sebuah pasar raya dan kedai runcit setakat ini mendapati harga susu dijual pada kadar berpatutan.

"Bagaimanapun, saya minta pihak pengusaha beri laporan tentang pergerakan harga susu berkenaan untuk kita teliti dan akan mengambil beberapa inisiatif bagi mendepani isu ini.

"Kalau benar aduan itu betul, libat urus dengan pihak pengeluar akan diadakan. Jika tiada, kita akan beri satu laporan nanti memang tiada kenaikan melampau. Kita sentiasa pantau setiap barang yang rakyat adukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat sebuah kilang pembungkusan minyak masak di Manjung di sini pada Sabtu.

Beliau yang diiringi Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail turut melakukan pemantauan di premis perniagaan hasil laut di Lumut dan tinjauan susu formula di sebuah pasar raya di Sitiawan.

Media pada Jumaat melaporkan isu kenaikan mendadak harga susu formula kanak-kanak antara RM10 hingga RM30 memberi bebanan kepada ibu bapa sebelum di media sosial sejak dua minggu lalu.

Malah, Persatuan Pengguna Pulau Pinang meminta KPDN memeriksa kewajaran kenaikan itu selain meletakkannya di bawah harga kawalan bagi menstabilkan harga produk berkenaan.

Ditanya mengenai kenaikan susu formula untuk pesakit kanser, Salahuddin memaklumkan pihaknya juga akan mengadakan libat urus dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meskipun produk berkenaan bukanlah barang kawalan.

"Difahamkan KKM membeli susu ini secara pukal, jadi saya akan bincang dengan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa supaya rakyat boleh beli di hospital kerajaan kerana mungkin harga sedikit rendah.

"Perkara itu kita bincang nanti. Kalau beli di farmasi memang mahal. Saya akan adakan libat urus dengan KKM kerana produk ini tidak di kawal kerana harga import," katanya.