SPRM perlu segera buka 'fail' lama Tun M - Puad

Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula 'fail' lama milik bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anak-anaknya.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu berkata, Dr Mahathir sering mendakwa dirinya bersih sedangkan amalan kronisme dan nepotisme berlaku sewaktu beliau bergelar Perdana Menteri.

"Contohnya, Petronas melalui MISC 'bailout' konsortium perkapalan milik Mirzan. Mahathir adalah PM masa itu. Bukankah itu kronisme?

"Pada tahun 1997, Mokhzani Mahathir adalah pemilik saham terbesar Kumpulan Hospital Pantai. Sekali lagi Tun M adalah PM ketika itu.

"Group ini menguasai kontrak pembekalan peralatan semua hospital kerajaan termasuk konsensi Fomema. Mokhzani juga pemilik Kencana Group yang mendapat kontrak berbilion ringgit dari Petronas," dakwanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Sabtu.

Mohd Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit berkata, Dr Mahathir masih seorang Perdana Menteri pada 2002, dan beliau juga pada masa sama, memainkan peranan sebagai Penasihat Petronas ketika itu.

"SPRM kena siasat apakah wujud kronisme hingga Kencana Petrolium dapat layanan anak emas.

"Tun M bersara tahun 2003. Dia jadi penasihat Petronas 12 tahun. Apakah Petronas bebas kronisme? 22 tahun dan 22 bulan dilindungi oleh jawatan PM. Sampai masanya SPRM buka fail lama," katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!