Ahmad Maslan yakin 'panglima perang' bukan MP, ADUN BN
PONTIAN - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menepis dakwaan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) berhubung 10 'panglima perang' UMNO akan menyertai PN dalam masa terdekat.
Beliau sebaliknya menegaskan, 10 'panglima perang' yang dimaksudkan itu, bukan dalam kalangan ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Ini kerana jelasnya, kesemua 30 ahli Parlimen dan kesemua ADUN UMNO serta BN yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka, sudah menandatangani perjanjian setia kepada parti sebelum menjadi calon.
"Entah siapa 10 'panglima perang' yang dimaksudkan itu. Saya amat yakin jika ada pun pemimpin dari UMNO yang hendak masuk PN, mereka bukan dari kalangan ahli Parlimen atau ADUN.
"Ini kerana, kami yang bertanding pada PRU15 dan PRN telah menandatangani perjanjian tertentu sebelum menjadi calon. Kami setia dengan UMNO dan BN," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Agama (SMA) Bugisiah, Tampok Benut di sini pada Sabtu.
Pada Isnin, PN dilaporkan akan membuat pengumuman mengenai 10 'panglima perang' termasuk nama besar yang disisihkan UMNO menyertai komponen gabungan itu dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, menurut sumber, tiga daripada mereka dikatakan berasal dari Johor.
Ketiga-tiganya adalah pemimpin berpengaruh dan mempunyai jawatan penting dalam UMNO sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!