Isu kekurangan bekalan gula selesai akhir Jun ini

Salahuddin turut melihat bekalan gula yang dijual ketika meninjau barang kawalan di sebuah pasar raya di Sitiawan pada Sabtu.
Salahuddin turut melihat bekalan gula yang dijual ketika meninjau barang kawalan di sebuah pasar raya di Sitiawan pada Sabtu.
A
A
A

LUMUT - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjangkakan isu kekurangan 20 peratus bekalan gula di pasaran dapat diselesaikan hujung Jun ini.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, dua pemain utama industri berkenaan telah berjanji untuk mencukupkan bekalan gula menerusi sesi libat urus yang berlangsung pada Jumaat.

"Kita sampai pada tahap 80 peratus, yang 20 peratus itu yang kita kena cukupkan. Dari segi keperluan, negara memerlukan 42,000 tan metrik sebulan, itu jumlah yang mesti ditunaikan oleh pihak pengeluar bagi gula pasir, gula kasar dan gula halus yang saya katakan gula rakyat.

"Saya perhatikan sendiri memang terdapat kekurangan, bukan tiada langsung. Jadi setiap hari pegawai-pegawai akan lebih agresif turun padang bagi memastikan pihak industri dapat menunaikan janji mereka untuk memastikan keberadaan gula rakyat ini.

"Saya berharap kita dapat selesaikan sebelum berakhirnya Op Manis pada 30 Jun ini," katanya kepada pemberita selepas melawat sebuah kilang pembungkusan minyak masak di Manjung di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, pihaknya telah mengenalpasti beberapa faktor kekurangan bekalan gula di pasaran sejak Mei lalu.

"Ada kilang yang mengambil masa untuk melakukan penyelenggaraan berikutan pemasangan dandang baharu.

"Yang lain saya rasa tidak ada isu melainkan mereka mencukupkan perjanjian mereka untuk membekalkan gula," katanya.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin memaklumkan bahawa isu bekalan minyak masak peket bersubsidi hampir berjaya diatasi.

"Isu ini kita dapati tidak lagi menjadi isu di pasaran, rakyat boleh beli dan mereka dapat berniaya serta suri rumah dapat menggunakan seperti biasa.

"Saya rasa bekalan telah pulih. Kalau ada aduan yang terpencil mungkin di kampung-kpung pedalaman dan negeri-negeri bersempadan seperti Perlis, Kedah dan Kelantan. Kita tingkatkan lagi penguatkuasaan kita," katanya.

Tambah beliau, bekalan telur bagi gred A, B, C, D yang dikawal juga mudah didapati di pasaran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!