Tingkat kualiti pendidikan Islam menerusi konsep Madani - PM
ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan sentiasa memartabatkan Islam dan tidak meminggirkan institusi sekolah pondok dan agama di negeri ini menerusi konsep Madani.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini membuktikan Kerajaan Perpaduan bukan bersikap liberal sebaliknya mahu mengangkat institusi Islam ke tahap lebih baik dengan menaik taraf institusi berkenaan.
Menurutnya, kerajaan berharap institusi pondok mengekalkan tradisinya, namun pada masa sama dilengkapi ilmu pelbagai untuk menghadapi tentangan zaman baharu.
“Sebab itu di negara ini kita perkenalkan madani, yang tidak mungkin sama dengan konsep dibawa Barat.
“Kalau kita kekal dalam bentuk lama, kemungkinan arus perubahan, tekanan dari luar tidak dapat ditahan. Kalau kita terima saja, di luar tanpa tonggak iman akhlak, ilmu dan membentuk sahsiah Islamiah, akan lahir generasi muda yang terpisah dari tradisi budaya, agama mereka,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Jubli Intan Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdhah Hasanah Melele, Kodiang, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengetua SMA Nahdhah Hasanah, Syeikh Mohd Jamil Sadaqi Syeikh Tajuddin Al-Jarumi.
Anwar menegaskan, institusi pondok dan madrasah penting dalam konteks perjuangan kemerdekaan dan menjadi benteng kepada akidah umat Islam.
“Bagi mencapai pendidikan Islam yang sempurna kita hendaklah kembali kepada pendidikan berlandaskan pegangan dan pembentukan insan berpandukan kitab ulama-ulama mu'tabar seperti mana yang diajar di pondok dan sekolah agama,” katanya.
Pada majlis itu, Anwar mengumumkan kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM8.9 juta bagi membantu institusi pendidikan Islam di Kedah untuk meningkatkan kualiti pendidikan Islam di negeri ini.
Sebanyak RM6.4 juta diperuntukkan untuk membaik pulih dan menaik taraf kemudahan pendidikan bagi institusi pendidikan Islam termasuk sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini.
Menurutnya, sejumlah RM604,180 disalurkan kepada 36 buah institusi pendidikan Islam untuk tujuan kursus dan latihan guru serta bantuan pendidikan seperti meja, kerusi, almari, projektor, papan putih, kabinet buku dan sebagainya.
“Sebagai tambahan, Kerajaan Perpaduan turut menyumbang RM1,985,000 kepada 28 pondok, tahfiz, maahad dan sekolah agama yang berdaftar di negeri ini dalam usaha menyuburkan lagi pendidikan berteraskan Islam,” katanya.
Anwar turut meluluskan sumbangan RM2.94 juta kepada 588 masjid kariah di 12 daerah seluruh negeri ini yang berdaftar bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) bagi mengimarahkan masjid sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
“Setiap masjid akan menerima sumbangan RM5,000. Sebanyak RM1.2 juta pula disumbangkan kepada SMA Nahdhah Hasanah untuk menaik taraf keperluan asas,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!