Segerakan libat urus gubal akta pendanaan politik - IDEAS
KUALA LUMPUR - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) yang berperanan sebagai Sekretariat Kumpulan Rentas Parti Parlimen (KRPPM) menggesa kerajaan segera melakukan sesi libat urus dengan pemegang taruh bagi penggubalan undang-undang pendanaan politik.
Pengurus Kanan Penyelidikan Unit Demokrasi dan Tadbir Urus IDEAS, Aira Azhari berkata, jika rang undang-undang (RUU) itu tidak dibentang dan digubal dikhuatiri lebih banyak lagi kes rasuah bernilai ratusan juta ringgit yang merugikan negara dan memberi imej buruk kepada Malaysia.
Katanya, sesi libat urus itu perlu dilakukan secara menyeluruh termasuk melibatkan parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan.
"Gunakan institusi yang sudah ada contohnya di Parlimen, Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Reformasi boleh digunakan sebagai platform perbincangan untuk merangka RUU ini.
"Kami gesa kerajaan lebih serius untuk membentangkan RUU ini dan jangan berdalih lagi untuk segera menggubal undang-undang ini," katanya kepada Sinar Harian pada Bengkel Pendanaan Politik anjuran IDEAS; Pejabat Pengerusi KRPPM merangkap Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Transparency International Malaysia (TI-M) di sini pada Sabtu.
Menerusi bengkel itu, beberapa wakil institusi membuat pembentangan termasuk Pensyarah Pusat Pengajian Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Nottingham United Kingdom, Profesor Madya Dr Fernando Casal Bertoa yang membentangkan laporan bertajuk 'Pembiayaan Awam: Amalan Terbaik Antarabangsa'.
Mengulas lanjut, Aira berkata, IDEAS menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini tentang kepentingan mengawal selia pembiayaan politik.
"Bagaimanapun, keberkesanan perundangan pendanaan politik ini bergantung kepada kewujudkan institusi bebas terutama suruhanjaya bebas yang bertanggung jawab menyelia ketelusan dan akauntabiliti kewangan parti.
"Mengawal selia pembiayaan politik ini adalah langkah pertama ke arah membendung rasuah selain Malaysia juga perlu melaksanakan agenda pembaharuan institusi yang komprehensif untuk memastikan akta pembiayaan politik dapat dikuat kuasakan," ujarnya.
Sementara itu, Fernando mendedahkan, pembiayaan politik di Malaysia adalah antara yang paling kurang dikawal selia di rantau Asia.
"Dalam negara yang berlaku ketidakstabilan politik ekoran perubahan kerajaan yang kerap, wajar dimasukkan pembiayaan awam dalam perundangan pendanaan politik kerana ia boleh mengukuhkan sistem parti politik di Malaysia.
"Sekiranya undang-undang anti lompat parti boleh menghalang ahli politik bertukar parti, menggubal akta pembiayaan politik boleh menangani isu asas lompat parti yang didorong keinginan untuk mendapatkan habuan lebih besar daripada pihak yang lebih berkemampuan dari segi kewangan.
"Jadi (ke arah penggubalan akta berkenaan) saya juga bersedia untuk menawarkan kepakaran saya kepada pihak berkepentingan di Malaysia bila-bila masa yang diperlukan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!