PRN: Agihan kerusi Perikatan Nasional selesai 99 peratus
GEORGETOWN - Pengagihan kerusi antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri nanti sudah selesai hampir 99 peratus.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua isu berkaitan pembahagian kerusi antara parti-parti komponen akan dimuktamadkan pada Rabu ini.
"Saya nak terangkan, kita dah hampir selesai pembahagian kerusi, sudah selesai 99 peratus, 22 Jun ini, kita adakan pertemuan untuk muktamadkan (agihan kerusi).
"Kalau nak tanya semua puas hati, semua jawab tak puas hati, Pas puas hati?, tak puas hati, Bersatu lagi tak puas hati, Gerakan memang tak puas hati.
"Jadi siapa yang puas hati, kenapa tak puas hati, semua nak kawasan boleh menang, semua nak pergi ke situ, dah tentu dua tiga orang tidak puas hati takkan kita nak bagi Pas separuh kita separuh, tak boleh satu sahaja," katanya ketika berucap pada Konvensyen dan Pelancaran Jentera PN Pulau Pinang di Ibupejabat Gerakan Pulau Pinang di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Pengerusi PN Pulau Pinang, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan beberapa pemimpin PN Pulau Pinang.
Enam negeri iaitu Selangor, Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dijangka mengadakan PRN serentak walaupun tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) di semua negeri berkenaan berbeza.
Setakat ini, hanya tiga negeri telah mengumumkan tarikh pembubaran Dun iaitu Kelantan 22 Jun, Pulau Pinang 28 Jun dan Negeri Sembilan 30 Jun.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, proses rundingan mengenai pengagihan kerusi berjalan dengan baik walaupun berlaku perbezaan pendapat.
"Itu proses biasa dalam rundingan, berlaku perbezaan pendapat. Bagaimanapun, semangat rundingan antara parti-parti komponen PN berada pada tahap terbaik, setiap parti mampu bertolak ansur antara satu sama lain.
"Semangat PN luar biasa apabila kita runding lebih kurang tidak apa, pasal kalau Pas menang kita menang, Gerakan menang kita menang, Bersatu menang kita menang, semua ini PN menang.
"Kita kena berganding sepenuhnya, bukan soal siapa nak tanding, siapa nak tanding tanding lah, mungkin kali ni tak ada rezeki, esok ada rezeki tak kira siapa (calon)," katanya.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, semangat pengundi terutama orang Melayu untuk menyokong PN pada PRN pada masa ini juga berada pada tahap yang luar biasa.
''Hasrat orang Melayu ikut kajian kita di Selangor atau di seluruh negara 80 peratus sokong PN.
"Ikut kajian kita di Selangor, di Pulau Pinang kita tidak buat kajian, pengundi Melayu (di Selangor) 89 peratus akan keluar mengundi, orang Cina kita tidak tahu, semangat pengundi terutama Melayu untuk sokong PN luar biasa,'' katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!