Tiga 'warlord' UMNO Johor sertai PN hanya khabar angin - Khaled
KOTA TINGGI - Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan dakwaan tiga 'warlord' UMNO dari negeri itu dijangka menyertai Perikatan Nasional (PN) sebagai khabar angin.
Jelas Naib Presiden UMNO itu, sehingga kini pihaknya tidak ada menerima sebarang makluman lanjut berhubung perkara berkenaan.
Justeru katanya, pihaknya mengambil pendekatan untuk membiarkan sahaja khabar angin berkenaan terus kekal sebagai khabar angin.
“Saya baca pun dalam surat khabar. Sama ada benar atau tidak dari sudut kepimpinan parti perkara itu kita tidak ada dengar. Oleh itu, kita harap rumours ini terus kekal sebagai rumours lah.
“Politik ini panjang ada pasang surut, tetapi kita punya prinsip perjuangan dan penegasan kita di landasan kita sebenarnya tidak berubah. Walaupun ada pasang surut yang kadang-kadang kita naik kadang turun. Semua itu dah ada ketentuan.
“Jadi kita hadapi sahaja kerana ia boleh beri kita pengajaran dan jadi pengalaman dan panduan, boleh juga menjadi panduan tetapi hidup mesti berprinsip. Takkan apabila keadaan tidak memihak kepada kita, maka kita pun terlompat-lompat dan sebagainya," katanya pada sidang media sempena lawatan ke Felda Bukit Easter di sini, pada Sabtu.
Pada 12 Jun lalu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin semasa sidang media di lobi Parlimen memaklumkan PN akan mengumumkan senarai nama 10 'panglima perang' atau 'warlord' UMNO yang disisihkan untuk menyertai parti dalam gabungan itu dalam masa terdekat.
Dikhabarkan tiga daripada 10 'warlord' berkenaan berasal dari Johor dan merupakan pemimpin berpengaruh serta mempunyai jawatan penting dalam UMNO sebelum ini.
Sementara itu, Mohamed Khalid menyifatkan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Jumaat dalam perbincangan mengenai hala tuju ekonomi negara, dilihat sebagai satu keterbukaan Kerajaan Malaysia Madani.
“Ini menunjukkan keterbukaan Perdana Menteri untuk menerima dan berjumpa bagi mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak, ini mungkin sesuatu yang menyebabkan beliau menjemput saudara Khairy.
“Saya percaya Khairy juga menggunakan segala peluang untuk menyampaikan apa sahaja pandangannya dalam soal untuk membaiki dan melonjakkan kembali ekonomi Malaysia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!