PRN: PH Selangor yakin terus dapat sokongan rakyat
SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) Selangor mempunyai keyakinan besar untuk terus mendapat sokongan rakyat bagi mempertahankan negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan dalam waktu terdekat.
Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, tiada sebab rakyat di Selangor perlu menukar kerajaan sedia ada yang telah terbukti prihatin dan berkebajikan sejak mengambil alih negeri pada tahun 2008.
Malah jelas beliau, hasil kaji selidik dan maklumat risikan diperoleh daripada majoriti rakyat Selangor terbukti bahawa mereka berpuas hati dengan rekod cemerlang PH di Selangor.
"Kami mempunyai rekod cemerlang misalnya dari segi kepimpinan, kita tidak mempunyai rekod rasuah, salah guna kuasa dan individu (pemimpin) kami dalam kalangan mereka berkelayakan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau memberitahu, rakyat tentunya berpuas hati dengan apa yang dilaksanakan kerajaan Selangor pada masa kini.
Jelas beliau, setakat ini Selangor menunjukkan prestasi cemerlang dalam menyediakan pelbagai inisiatif untuk kebajikan rakyat berbanding negeri lain.
"Kalau hendak dibandingkan tiada lagi negeri seperti Selangor yang menjaga rakyat dan tiada sebab rakyat perlu tukar kerajaan sedia ada," ujar beliau.
Mohd Yahya memberitahu, kerajaan Selangor telah memperkenalkan sebanyak 43 inisiatif Iltizam Selangor Penyayang dan Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
"Tidak pernah ada negeri berani merancang satu pembangunan seperti (RS-1) kerana kewangan negeri lain terhad, tetapi di Selangor kita berani mengeluarkan satu pelan perancangan seperti mana Rancangan Malaysia untuk membantu rakyat dari sudut sosial, kehidupan dan ekonomi," kata beliau.
Sehubungan itu, katanya, PH menyerahkan kebijaksanaan rakyat sepenuhnya untuk menilai dan menganalisis prestasi kepimpinan PH di negeri ini.
"Kita serahkan kepada rakyat walaupun tidaklah penilaian ini 100 peratus kerana kita tahu ada kelemahan dan sebagainya.
"Kelemahan itu perkara biasa dan kita mencari jalan untuk perbaiki dari semasa ke semasa contohnya berkaitan isu penyelenggaraan sampah dan jalan," tambahnya.
Ahli Jawatankuasa PH Selangor, Ng Suee Lim berkata, rakyat yakin dengan kesungguhan PH mentadbir Selangor dengan penuh komitmen.
Katanya, rakyat di negeri ini bertuah kerana mempunyai seorang menteri besar yang masih muda, berwibawa dan sentiasa bekerja keras untuk rakyat.
Katanya, semangat 'Kita Selangor' perlu ditonjolkan lebih-lebih lagi rakyat sudah biasa dengan acuan PH selama tiga penggal memerintah negeri ini.
"Inilah semangat keluarga besar kita yang mahu negeri ini terus maju, stabil dan makmur," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!