Empat ahli Geng Panjang diberkas
KUANTAN - Kumpulan penjenayah ‘Geng Panjang’ yang aktif melakukan kegiatan samun dan ragut bersenjata sekitar bandar ini tumpas apabila empat ahlinya termasuk seorang wanita diberkas, 23 Mac lalu.
Susulan penahanan suspek berusia 22 hingga 37 tahun termasuk ketuanya yang dipanggil ‘Panjang’, polis percaya berjaya menyelesaikan sembilan kes jenayah itu yang dilaporkan di sini, sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, penahanan suspek berasal dari sini dan Dungun, Terengganu itu susulan laporan polis yang dibuat mangsa sejak awal Mac lalu.
Menurutnya, bertindak atas maklumat dan risikan, Pasukan Task Force Samun Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kuantan yang ditubuhkan untuk mengesan kumpulan terbabit berjaya menjejaki dan menahan salah seorang suspek di hadapan sebuah restoran di jalan Bukit Ubi di sini, petang 23 Mac lalu.
“Hasil siasatan ke atas suspek itu membawa kepada penahanan dua lagi suspek termasuk seorang wanita di sebuah bilik sewa, di bangunan kedai di jalan yang sama.
“Hasil serbuan ke atas bilik sewa itu, kita menemui dan merampas pelbagai telefon bimbit dan senjata seperti kapak, parang dan pisau yang digunakan dalam kegiatan jenayah tersebut,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan IPD Kuantan di sini hari ini.
Mohd Noor berkata, berikutan maklumat yang didedahkan suspek, polis berjaya menahan seorang lagi rakan mereka yang juga ketua kumpulan tersebut hasil serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Tengah di sini, jam 5 petang hari yang sama.
Berikutan kejayaan ini, polis merampas senjata yang digunakan, 15 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah motosikal jenis Honda EX5, dua topi keledar dan pakaian digunakan suspek semasa melakukan kegiatan tersebut.
“Berdasarkan siasatan, kumpulan itu mengaku terlibat dalam sembilan kes tersebut dengan menjadikan pelajar sekolah, pelajar kolej dan individu bersendirian di lokasi yang agak sunyi sebagai sasaran.
“Berdasarkan laporan polis yang dibuat mangsa, anggaran kerugian keseluruhan mencecah RM10,000 bagaimanapun tiada kes mangsa dicederakan,” katanya.
Mohd Noor berkata, modus operandi kumpulan itu dengan menyasarkan mangsa yang berjalan berseorangan dan semasa melakukan samun, suspek menggugut untuk mencederakan mangsa menggunakan kapak, parang dan pisau sekiranya melawan.
“Semua suspek kini ditahan reman sehingga 5 Mei ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/387 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
“Hasil ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah dan mempunyai rekod lampau berkait kes dadah dan jenayah,”vkatanya.
Beliau berkata, pihak polis kini dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya bagi tujuan pendakwaan dan pada masa sama meneruskan siasatan bagi mengesan saki baki kumpulan itu atau kumpulan lain yang terlibat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!