PRN: Pembahagian kerusi BN-PH, hanya satu dua kerusi bertindih

Mohamad (empat dai kiri) ketika menyampaikan sumbangan kepada ahli PVATM Cawangan Rembau.
Mohamad (empat dai kiri) ketika menyampaikan sumbangan kepada ahli PVATM Cawangan Rembau.
A
A
A

REMBAU - Pembahagian kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di enam negeri yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, sudah 90 peratus selesai.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagaimanapun terdapat satu ke dua kerusi berlaku pertindihan membabitkan semua negeri berkenaan.

"Satu ke dua kerusi itu akan kita rujuk kepada Jawatankuasa Majlis Presiden, biarlah presiden-presiden parti yang berunding, kami di peringkat jawatankuasa dah berunding.

"Pertindihan kerusi ini sebab semua rasa boleh menang jadi kita serahkan kepada Majlis Presiden untuk menentukan bagi melihat dari segi kaca mata yang lebih luas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) cawangan Rembau kali ke 47/2023 di sini pada Sabtu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan rundingan akhir berkaitan pembahagian kerusi itu telah berlangsung di Kuala Lumpur pada malam Khamis, dipengerusikan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bagi pihak PH manakala BN diketuai Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dalam pada itu, Mohamad memaklumkan BN Negeri Sembilan sudah 'mengunci' 16 kerusi namun terdapat satu atau dua kerusi yang PH mahu dan BN juga mahu.

Katanya, bagi kerusi yang sudah dimuktamadkan, setiap parti boleh memulakan gerak kerja bagi menghadapi PRN.

"Pembahagian kerusi bagi enam negeri belum ada yang 100 peratus selesai. Kita tidak mahu disebabkan hal ini kerja terbantut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!