Sambut Aidiladha di rumah baharu

Anwar (lima dari kanan) bersama empat penerima kunci Rumah Kasih Ihsan pada majlis penyerahan di Tasek Gelugor pada Sabtu.
Anwar (lima dari kanan) bersama empat penerima kunci Rumah Kasih Ihsan pada majlis penyerahan di Tasek Gelugor pada Sabtu.
A
A
A

TASEK GELUGOR - Impian pasangan suami isteri untuk mendiami kediaman yang lebih selesa akhirnya tertunai apabila menerima Rumah Kasih Ihsan secara percuma yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini pada Sabtu.

Md Nasir Md Sharif, 42, yang bekerja sebagai pembantu tukang masak di kantin sebuah sekolah di sini berkata, sebelum ini dia bersama isteri dan tiga anaknya tinggal di rumah pusaka peninggalan keluarga yang telah usang dan bocor.

Menurutnya, pada mulanya dia hanya memohon bantuan membaiki kerosakan rumah pusaka dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), namun tidak menyangka diberikan sebuah kediaman secara percuma.

"Alhamdulillah kalau dahulu setiap kali hujan atau angin kuat kami sekeluarga tidak dapat tidur lena, namun kini kami dapat tinggal dengan lebih selesa.

"Permohonan untuk memiliki rumah ini juga diluluskan dengan cepat di mana hanya mengambil masa tujuh bulan sahaja," katanya ketika ditemui media selepas majlis penyerahan kunci rumah berkenaan di Kampung Tok Bedu di sini.

Pada majlis itu, seramai empat penerima menerima kunci rumah mereka masing-masing di Kampung Tok Bedu, Padang Menora, Penaga dan Machang Bubuk.

Sementara itu, seorang lagi penerima Siti Nooraie Hassan, 37, pula menganggap rumah baharu itu sebagai hadiah untuk mereka sekeluarga menyambut Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.

"Saya sudah memohon untuk mendapatkan rumah ini sejak tiga tahun lalu dan akhirnya rezeki permohonan diluluskan yang kini rumah telah pun siap untuk diduduki," katanya.

Program Rumah Kasih Ihsan merupakan inisiatif kerajaan Persekutuan dalam menyediakan kediaman selesa kepada rakyat dalam kategori miskin dan miskin tegar.

Program ini diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) melalui Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang (BPPBPP).

Rumah-rumah ini dibina di atas tanah berstatus Lesen Kependudukan Sementara (TOL) dan tanah milik keluarga yang diberikan kebenaran untuk membina kediaman atas tanah tersebut.

Penerima Rumah Kasih Ihsan ini terdiri daripada golongan berpendapatan di bawah RM580 sebulan selain mereka yang berstatus ibu tunggal dan pesakit kronik.

Rumah Kasih Ihsan berkeluasan 660 kaki persegi dengan tiga bilik tidur, ruang tamu, dapur serta bilik air membabitkan kos pembinaan sebanyak RM75,000 seunit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!