PRN: Tiada masalah pembahagian kerusi di Kelantan
TUMPAT - Tiada masalah pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan UMNO untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan kerana kedua-dua pihak masih dalam peringkat rundingan, kata Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata, penyelesaian rundingan kerusi agak cepat di Kelantan dan semua pemimpin positif mengenai perkara itu.
"Mengenai rundingan 'moodnya' sangat positif di peringkat Pakatan Harapan (PH) dan UMNO.
"Kita mahu memastikan ada 'check and balance' di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan untuk PH dan Barisan Nasional (BN)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Lawatan ke Projek Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan di Klinik Kesihatan Teluk Renjuna di sini pada Sabtu.
Beliau turut memberitahu, penggunaan logo parti untuk PRN di Terengganu masih dalam perbincangan.
"Bagaimanapun di Kelantan dipersetujui masing-masing menggunakan logo PH dan BN tetapi tidak bertembung dari segi kerusi," katanya.
Dalam perkembangan lain, Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Perubahan Iklim (NRECC) berkata, prosedur operasi standard (SOP) untuk perlombongan sudah siap sepenuhnya dan dipraktikkan di Perak.
Jelas beliau, sudah ada hasil yang dikeluarkan dan dieksport.
"SOP di peringkat Nasional sudah diluluskan oleh Kabinet dan dalam minggu depan saya akan bentangkan termasuk dari segi pemprosesan kerana kita tidak mahu Malaysia hanya menjual bijih secara mentah.
"Kita juga mahu proses pengeluaran berlaku secara mesra kepada alam sekitar kerana ia melibatkan kesan ke atas alam sekitar," katanya.
Ikuti perkembangan isu-isu politik sempena Pilihan Raya Negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!