Pegawai polis ditahan disyaki memandu melawan arus, mabuk
KUALA LUMPUR - Seorang pegawai polis ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dan melawan arus di Jalan Cheras dekat sini pada Khamis.
Menurut sumber, dalam kejadian pada jam 4.10 pagi itu, sepasukan anggota polis ternampak sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki secara melawan arus.
"Anggota polis berkenaan bertindak mengejar dan berjaya menahan kenderaan terbabit berhampiran lampu isyarat di persimpangan menghala ke Flat Sri Sabah.
"Lelaki itu enggan memberikan kerjasama dan telah menghalang anggota polis untuk membuat pemeriksaan," katanya.
Menurutnya, lelaki terbabit turut menunjukkan isyarat lucah terhadap anggota polis yang memeriksanya.
"Semasa proses tangkapan telah berlaku pergelutan, akibatnya lelaki itu mengalami luka dibahagian atas kening sebelah kiri, dia telah dibawa Ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras untuk tindakan lanjut," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan seorang pegawai polis berusia 35 tahun telah ditahan.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!