Lebih 1,000 calon SPM di Perak tercicir

Khairudin (tiga dari kiri) menyampaikan sijil kepada wakil Pejabat Pendidikan Daerah sempena Majlis Apresiasi dan Jalinan Kolaborasi empowerNCER Akademik di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Khairudin (tiga dari kiri) menyampaikan sijil kepada wakil Pejabat Pendidikan Daerah sempena Majlis Apresiasi dan Jalinan Kolaborasi empowerNCER Akademik di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Seramai 1,106 daripada 2,718 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Perak tidak mengambil peperiksaan bagi semua mata pelajaran pada tahun 2022.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, bagaimana pun keciciran pelajar SPM itu bukanlah berlaku pada tahun 2022 tetapi sepanjang tempoh peperiksaan awam dilaksanakan sebelum ini.

Menurutnya, antara faktor yang dikenal pasti berlaku masalah itu disebabkan calon bekerja untuk mencari pendapatan melalui pelbagai peluang seperti p-hailing selain pelajar sudah tidak lagi minat untuk belajar.

"Mungkin ada faktor menolak dan faktor menarik menyebabkan mereka tidak menduduki peperiksaan ini. Tak boleh menyalahkan skop pembelajaran semata-mata dan sebagainya tetapi disebabkan diri pelajar itu sendiri ataupun persekitaran yang mempengaruhi mereka.

"Saya melihat semua pihak perlu bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah ini kerana bukan hanya berlaku pada tahun 2022 tetapi sepanjang tempoh peperiksaan awam tahun-tahun sebelumnya lagi," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi dan Jalinan Kolaborasi empowerNCER Akademik di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Khairudin bagaimanapun yakin pihak Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri akan mengambil langkah proaktif dalam mencari penyelesaian terhadap isu ketidakhadiran pelajar dalam menduduki peperiksaan SPM.

Menurutnya, faktor kemiskinan bukan sebab utama masalah ini berlaku kerana ramai dalam kalangan pelajar kategori B40 yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM yang diumumkan baru-baru ini.

Pada Khamis, KPM mengesahkan hampir 30,000 direkodkan tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 termasuk calon yang berdaftar mengambil satu mata pelajaran dalam peperiksaan awam itu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, jumlah yang tepat adalah seramai 29,663 daripada 388,832 tidak mengambil peperiksaan berkenaan tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Jun lalu turut memandang serius terhadap laporan bahawa hampir 30,000 pelajar yang tidak menduduki SPM.

Justeru, beliau mengarahkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meneliti secara terperinci mengenai isu tersebut supaya ia tidak berulang di tahun-tahun akan datang.

ARTIKEL BERKAITAN:

14,858 calon tidak hadir duduki SPM

Tiada percanggahan angka pelajar tidak ambil SPM - Hui Ying

KPM kaji punca pelajar tidak ambil SPM

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!