Hafiq bangkit tebus kecewa

Hafiq memenangi pingat perak acara perlumbaan mata ACC 2023 di Velodrom Nasional, Nilai pada Sabtu. - Foto FB Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia/I-Sports Wear
Hafiq memenangi pingat perak acara perlumbaan mata ACC 2023 di Velodrom Nasional, Nilai pada Sabtu. - Foto FB Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia/I-Sports Wear
A
A
A

PERASAAN pelumba muda negara, Muhammad Hafiq Mohd Jafri bercampur baur selepas memenangi pingat perak acara perlumbaan mata (points race) junior lelaki pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023 pada Sabtu.

Menurut Hafiq, kejayaan meraih perak itu setidak-setidaknya dapat mengubati kekecewaannya selepas gagal membawa pulang sebarang pingat dalam acara kegemarannya, omnium pada Jumaat.

“Semalam (Jumaat) bukan rezeki saya meraih pingat dalam acara omnium. Sudah tentu saya agak kecewa kerana saya meletakkan sasaran untuk meraih pingat, bukannya dalam acara points race.

“Tetapi saya tetap bersyukur kerana hari ini (Sabtu) saya bangkit daripada kekecewaan untuk meraih pingat perak acara points race. Alhamdulillah... hari ini (Sabtu) rezeki saya menang pingat,” katanya.

Dalam saingan final, Hafiq terpaksa akur dengan kekuatan pelumba Indonesia, Nurahmat Syeihan Muhammad yang meraih pingat emas, manakala wakil Korea Selatan, Jo Jeongu membawa pulang gangsa.

Hafiq berkata, Nurahmat mempunyai kelebihan dari segi ketahanan (endurance) bagi mengharungi saingan final perlumbaan mata itu yang melibatkan 80 pusingan (20 kilometer).

“Saya lihat Nurahmat ada endurance yang berbeza dengan saya pada perlumbaan ini. Dia berjaya mengekalkan endurance diri dari awal sehingga akhir perlumbaan.

“Sebaliknya, saya kurang endurance... cuma saya lebih kepada kekuatan tenaga sahaja. Itu yang membezakan kami kerana Nurahmat kuat dari segi endurance dan tenaga,” jelasnya.

Hafiq yang meraih perak acara omnium pada ACC 2022 di New Delhi, India berpeluang menambah pingat apabila bakal membuat penampilan dalam acara madison pada Isnin.

“Saya akan cuba yang terbaik untuk meraih pingat dalam acara madison nanti. Jika berjaya, ia boleh dianggap satu bonus buat diri saya,” ujar pelumba berusia 18 tahun kelahiran Melaka itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!