‘Tak boleh over confident, mesti berjaga-jaga’ - Muhyiddin

Muhyiddin (tengah) semasa merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pemuda Perikatan Nasional.
Muhyiddin (tengah) semasa merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pemuda Perikatan Nasional.
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) dinasihatkan untuk tidak terlalu yakin dan bersikap berjaga-jaga dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jentera perlu bekerja keras bagi memastikan keenam-enam negeri yang menghadapi PRN tersebut berjaya ditakluki PN.

Tambah beliau, rundingan kerusi antara parti komponen telah selesai dilakukan dan akan dimuktamadkan pada 22 Jun depan.

“Mesyuarat 22 Jun nanti semua yang telah dirundingkan akan diselesaikan dan selepas itu parti boleh buat persiapan yang lebih lengkap termasuk menyenaraikan nama calon-calon bagi kerusi dibawah parti masing masing.

“Dan akan diteliti pucuk pimpinan parti, mana (calon) yang layak dan sesuai,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Jentera Pemuda Perikatan Nasional di I-City Convention Centre (ICCC) pada Sabtu.

Muhyiddin berkata, PN akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Pada masa sama, menurutnya, PN juga akan mempertimbangkan meletakkan calon baharu dan calon lama untuk dipertandingkan.

“Kita ambil kira juga permintaan wanita, pemuda. Bukan sahaja di Selangor tetapi seluruh negara.

“Kita ambil kira faktor itu kerana kita nak menunjukkan bahawa kita ambil perkara penting isu itu untuk penuhi citarasa pengundi di seluruh negara,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!