Dua 'rider' wanita maut rempuh lori treler

Anggota berserta dua buah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah lori.
Anggota berserta dua buah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah lori.
A
A
A

KULAI - Dua penunggang motosikal wanita yang sedang berkonvoi maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori treler di Jalan Gunung Pulai di sini, pada Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Yusof Othman berkata, kemalangan kira-kira jam 12 tengah hari itu berlaku apabila kedua-dua motosikal hilang kawalan semasa melalui selekoh Jalan Gunung Pulai dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh lori treler.

"Penunggang motosikal Yamaha Y15ZR, wanita tempatan berusia 36 tahun mengalami kecederaan parah meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Manakala wanita berusia 38 tahun yang menunggang motosikal Yamaha Y16ZR, meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai.

"Pemandu treler berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut Yusof, siasatan mendapati ketika kejadian cuaca hujan dan permukaan jalan licin.

"Kenderaan terlibat akan dibawa ke Puspakom Senai untuk pemeriksaan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulai, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Firdaus Juritah berkata, enam anggota berserta dua buah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah lori.

Berdasarkan satu rakaman video yang tular, kedua-dua penunggang motosikal berkenaan dilihat gagal mengawal motosikal semasa melalui kawasan selekoh menyebabkan motosikal ditunggangi mereka tergelincir sebelum bertembung dengan lori treler dari arah bertentangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!