Bekas ratu renang negara, Nurul Huda sertai MS
TIGA muka baharu tersenarai dalam jawatankuasa tertinggi Persekutuan Renang Malaysia (MS) di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang kekal menerajui badan induk berkenaan bagi penggal 2023-2025.
Shahidan menang tanpa bertanding manakala Oon Kee Seng mengekalkan jawatan Timbalan Presiden dengan mendapat 24 undi untuk mengalahkan Anthony Kong (19) dan Ng Yau Loong dengan enam undi.
Perubahan kali ini melibatkan jawatan Naib Presiden, Setiausaha Kehormat dan Penolong Setiausaha pada pemilihan sempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-54 badan induk itu pada Sabtu.
Ketua jurulatih Selangor, Marilyn Chua, menang jawatan Naib Presiden selepas meraih 29 undi dengan menewaskan Datuk Nawawi Reduan (20 undian) manakala Andy Low membuat kejutan apabila memperoleh 29 undi berbanding Mae Chan (22 undian) bagi jawatan Setiausaha Kehormat.
MS turut mendapat nafas baharu apabila bekas ratu renang negara, yang memenangi 22 pingat emas pada temasya Sukan SEA, Nurul Huda Abdullah (Selangor) dipilih sebagai Penolong Setiausaha setelah meraih 28 undi untuk mengetepikan Tan Chin Chin (20 undian).
Bercakap kepada pemberita selepas pemilihan itu, Shahidan, menzahirkan penghargaan kepada semua barisan jawatankuasa lama yang banyak menabur bakti sehingga membuahkan hasil membanggakan sehingga di peringkat antarabangsa.
Beliau, bagaimanapun, memaklumkan akan membawa usul mengenai pindaan perlembangaan persatuan bagi memboleh presiden melantik Setiausaha Kehormat dan Bendahari pada pemilihan penggal baharu nanti.
Dalam pada itu, dua penyandang berjaya mengekalkan jawatan masing-masing iaitu Oon Kee Seng bagi jawatan Timbalan Presiden manakala Nancy Yap sebagai Bendahari. - Bernama
Berikut Jawatankuasa Tertinggi Persekutuan Renang Malaysia 2023-2025:
Presiden: Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Perlis)
Timbalan Presiden: Oon Kee Seng (Perak)
Naib Presiden: Marilyn Chua (Selangor)
Setiausaha Kehormat: Andy Low (Negeri Sembilan)
Penolong Setiausaha: Nurul Huda Abdullah (Selangor)
Bendahari: Nancy Yap (Kuala Lumpur)
Lima Ahli Jawatankuasa:
1. Tasha Jane (Pulau Pinang)
2. Chee Pao Kam (Kedah)
3. Goh Kah Yi (Negeri Sembilan)
4. Mohd Azwan Abd Halim (Sabah)
5. Haris Lua Abdullah (Johor)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!