Doktor hamil empat bulan ditemui mati di rumah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang doktor wanita yang sedang hamil empat bulan ditemui mati di rumahnya di sini, pada 5 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, laporan diterima pihaknya kira-kira jam 8.55 malam.

"Siasatan dijalankan mendapati satu panggilan dibuat suami mangsa berkaitan kejadian.

"Mangsa dibawa ke Zon Merah Hospital Shah Alam oleh suaminya sendiri menaiki kereta dan usaha menyelamatkan mangsa telah dilakukan oleh petugas hospital namun gagal," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, mangsa berumur 32 tahun bekerja sebagai pegawai perubatan di sebuah klinik kesihatan kerajaan.

"Siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati tiada sebarang pergelutan dan pemeriksaan awal tubuh badan mangsa tiada kecederaan fizikal lain.

"Bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian disebabkan sesak nafas," katanya.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Ketua Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam Sarjan Mejar Muhammad Shafawi Yaacob di talian 03-55202222," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!