Gadis cari bapa kandung untuk jadi wali nikah
HULU TERENGGANU - Seorang gadis memohon bantuan orang ramai mengesan bapa kandungnya untuk menjadi wali pernikahannya yang dijadualkan berlangsung pada 1 Julai depan.
Nurul Sharifah Nazuwa Khairul Azna, 27, berkata, dia tidak lagi bertemu bapanya, Khairul Azna Ariff sejak berusia 9 tahun.
"Daripada cerita yang diberitahu kepada saya, ketika saya berusia tujuh tahun, ayah saya berniaga di sebuah kedai makan di Bandar Baru Bangi.
"Waktu itu saya dibesarkan oleh arwah opah dan datuk saya kerana mereka berdua membesarkan saya sejak lahir lagi sehingga saya berusia 15 tahun.
"Ketika saya berusia sembilan tahun, saya tidak lagi berjumpa ayah sehinggalah kini," katanya yang tinggal di Kampung Payang Kayu, Kuala Berang, di sini.
Nurul Sharifah Nazuwa berkata, dia difahamkan, kedua ibu dan bapanya berpisah pada 2015 dan keadaan itu menambahkan lagi jarak pemisah di antara mereka.
"Apabila kedua-duanya berpisah saya semakin sukar untuk menjejaki ayah saya. Saya harap mereka yang ada maklumat mengenai ayah saya boleh tampil dan hubungi talian 013-2785240.
"Jika ayah saya masih ada saya mohon agar dia dapat bertemu dengan saya seterusnya menjadi wali ketika pernikahan saya pada 1 Julai depan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!