Fernandes ledak dua gol bantu kemenangan Portugal
BRUNO Fernandes menjaringkan dua gol lewat ketika Portugal menang 3-0 ke atas Bosnia dan Herzegovina pada Ahad untuk mengekalkan rekod sempurna mereka dalam kelayakan Euro 2024.
Bernardo Silva membuka jaringan sejurus sebelum rehat di Estadio da Luz di Lisbon, dan bintang Manchester United Fernandes menanduk masuk gol kedua ketika aksi berbaki 13 minit.
Dia kemudiannya mendapat gol kedua peribadi dan ketiga buat Portugal pada masa kecederaan yang menyaksikan pasukan itu telah meledak 13 gol dan tidak dibolosi dalam tiga perlawanan pembukaan Kumpulan J.
Ia sekali gus meletakkan Portugal di kedudukan teratas kumpulan yang terdiri daripada enam pasukan, dua mata di depan Slovakia dan lima di atas Luxembourg, dengan dua pasukan teratas mara ke pusingan akhir tahun depan di Jerman.
Skuad bimbingan Roberto Martinez itu bakal berkunjung ke Iceland Rabu ini dengan satu lagi kemenangan akan membawa juara Euro 2016 semakin hampir untuk melayakkan diri.
"Sikap kami sebagai satu pasukan adalah menakjubkan tetapi kesukaran bagi kami lebih berkaitan dengan keletihan mental daripada fizikal," kata Martinez.
Cristiano Ronaldo memakai lilitan kapten dan bermain sepanjang 90 minit ketika pemegang rekod penampilan antarabangsa pemain lelaki berusia 38 tahun itu menambah cap ke-199 bersama Portugal.
Bagaimanapun, penyerang yang kini bermain untuk Al Nassr di Arab Saudi tidak berjaya menambah rekod 122 gol antarabangsanya.
"Komitmen Cristiano Ronaldo kepada pasukan kebangsaan adalah contoh yang baik. Dia adalah pemain unik dalam bola sepak dunia, dan dia sangat penting dalam bilik persalinan kami," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!