Wanita hamil ditahan hina Agong kurnia pingat kepada Kit Siang

Khaw Kok Chin
Khaw Kok Chin
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang wanita hamil ditahan bagi membantu siasatan berhubung penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah apabila menganugerahkan pingat kepada ahli politik veteran, Tan Sri Lim Kit Siang.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, wanita berusia 32 tahun itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara pada 13 Jun lalu.

Menurutnya, penahanan wanita itu dibuat selepas polis menerima laporan daripada orang awam mengenai beberapa kandungan di media sosial yang berupaya menjejaskan ketenteraman awam pada 7 Jun lalu.

"Selepas menerima laporan tersebut, pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah menahan suspek wanita kerana dipercayai memuat naik kandungan di media sosial yang berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong berhubung penganugerahan pingat kepada Kit Siang.

"Hantaran itu juga mengaitkan figura tersebut sebagai pencetus rusuhan 13 Mei 1969," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kok Chin berkata, polis telah merampas beberapa bahan bukti iaitu komputer riba, telefon bimbit dan kad sim milik suspek bagi membantu siasatan.

"Suspek telah diberikan jamin polis pada hari yang sama kerana dia sedang hamil enam bulan.

"Siasatan dijalankan oleh USJT Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!