Pelajar Mesir, Jordan terkena pemikiran menyeleweng Pas

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mendakwa pemikiran menyeleweng Pas telah mempengaruhi ramai pelajar daripada jurusan agama terutama yang menuntut di Jordan dan Mesir.

Ujar bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu, pemikiran itu adalah seperti mendakwa parti itu sahaja yang memperjuangkan Islam sehingga segala istilah agama yang diguna pakai hanya merujuk kepada mereka.

Jelas beliau, sedangkan kefahaman tersebut adalah salah dan bercanggah dengan pandangan ulama muktabar.

“Ustaz ini apabila pulang ke Malaysia menjadi guru agama di sekolah kerajaan dan pensyarah di universiti tetapi mereka kekal berpendirian yang sama menyanggahi tafsiran yang sebenar oleh para ulama Islam dalam kitab rujukan Islam.

“Bagaimana ilmuwan ini boleh mengekalkan tafsiran menyeleweng ini atau mendiamkan diri atas penyelewengan kerana dikaburi oleh penggabungan diri mereka sebagai ahli Pas.

“Bayangkan jika para ustaz keluaran Jordan yang menjadi guru agama di sekolah dan pensyarah di universiti berfikiran sebegitu bagaimana pula anak-anak murid mereka dan ahli-ahli parti yang tidak mendalami Islam?" soalnya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Mohd Khairuddin menambah, sikap fanatik itu turut menyebabkan sesiapa sahaja yang meninggalkan parti tersebut dilabel sebagai ‘gugur daripada medan dakwah’.

Jelasnya, hakikatnya perjuangan Islam adalah milik semua dan tidak terikat dengan mana-mana organisasi.

“Perjuangan Islam itu milik semua muslim yang bersyahadah dan membawa obor dakwah Islam di mana sahaja mereka berada dan dalam organisasi politik mana mereka anggotai,” tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!