Peluang Fadhil 'kalih' kilauan pingat

Fadhil memburu emas sulung di pentas ACC 2023 apabila beraksi dalam acara 1km ITT elit lelaki di Velodrom Nasional, Nilai pada Ahad. - Foto Bernama
Fadhil memburu emas sulung di pentas ACC 2023 apabila beraksi dalam acara 1km ITT elit lelaki di Velodrom Nasional, Nilai pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

Pelumba negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis berada dalam prestasi terbaik memburu pingat emas acara 1 kilometer (km) ujian masa individu (ITT) elit lelaki Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023 pada Isnin.

Berdasarkan prestasi semasa yang dipamerkan Fadhil ketika mengetuai trio pecut berpasukan meraih gangsa pada Rabu lalu, bukan 'misi mustahil' buat Fadhil menyambar kilauan emas dalam acara kegemarannya itu.

Malah, Fadhil bertekad menghadiahkan pingat emas buat buat kem Malaysia dalam acara tersebut yang kali terakhir dimenangi Mohd Edrus Yunus pada ACC 2012 di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras.

“Berdasarkan catatan masa dalam saingan pecut berpasukan sebelum ini, prestasi saya berada pada tahap terbaik. Saya sangat selesa untuk berlumba dalam acara ITT nanti.

“Saya berlumba di laman sendiri... gelanggang sendiri. Jadi sudah tentu saya lebih bermotivasi tetapi saya sedar saingan tahun ini lebih sukar kerana pelumba dari setiap negara sedang meningkatkan prestasi masing-masing.

“Pesaing saya nanti tentunya dari Jepun dan China. Tambahan pula, Jepun kini memegang rekod Asia dan seorang pelumba China mempunyai catatan masa yang amat hampir dengan saya,” kata Fadhil.

Pada Rabu lalu, gandingan Fadhil bersama-sama dua lagi pelumba muda - Muhammad Ridwan Sahrom dan Umar Hasbullah mencipta sensasi apabila meraih gangsa dalam acara pecut berpasukan.

Sekalipun tanpa kehadiran dua jaguh - Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom, trio yang baru dibentuk itu masih mampu menjelmakan kilauan pingat buat kem Malaysia.

Sementara itu, Ketua Jurulatih skuad berbasikal trek negara, John Beasley percaya Fadhil kini berada di kemuncak prestasinya dalam memburu gelaran sulung di pentas Asia.

“Fadhil sudah kembali ke tahap terbaiknya. Saya menjangkakan dia akan melakukan masa yang sangat baik dalam acara 1km ITT itu nanti selepas beraksi cemerlang dalam pecut berpasukan.

“Saya harap dia mampu membuktikan sesuatu, apatah lagi dia akan mendapat sokongan daripada penyokong tempatan di sini (Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan,” kata Beasley.

Untuk rekod, pelumba kelahiran Selangor berusia 25 tahun itu dua kali memenangi pingat perak acara 1km ITT di pentas ACC iaitu pada edisi 2020 dan 2022.

Pada edisi 2020 di Jincheon, Korea Selatan, Fadhil tewas kepada Andrey Chugay dari Kazakhstan sebelum dia sekali lagi meraih perak apabila tewas kepada pelumba Jepun, Yuta Obara di New Delhi, India tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!