Sembilan lelaki ditahan di Pot Cilan
JEMPOL - Polis berjaya menahan sembilan lelaki dipercayai terlibat penyalahgunaan dadah dalam Ops Sarang Pot Cilan, di kebun kelapa sawit, Pasoh 3 dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Muhd Nur Hishamudin Hashim berkata, dalam serbuan yang dilakukan kira-kira jam 12.30 tengah malam sehingga 1.30 pagi itu berjaya mengesan individu yang dipercayai menjalankan aktiviti menjual dan membeli dadah di kawasan tersebut.
Katanya, semasa intipan awal dilakukan di kawasan itu, terdapat seorang lelaki sedang duduk di atas tanah bersama sebuah beg kecil berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan.
“Sebaik sahaja kehadiran kita disedari, lelaki itu bangun dan cuba untuk melarikan diri, tetapi berjaya di tahan selepas dia terjatuh akibat berlaku pergelutan,” katanya.
Tambahnya, hasil pemeriksaan lanjut menjumpai sebuah beg kecil berwarna hitam di atas tanah berisi satu paket plastik dan enam tiub straw berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 3.46 gram.
Menurut Muhd Nur Hishamudin, selepas tangkapan itu, pihaknya terus menunggu di situ sehingga jam 1.30 pagi dan berjaya menahan lapan lelaki yang memasuki kawasan tersebut dengan menunggang motosikal, dipercayai untuk mendapatkan bekalan dadah.
“Hasil pemeriksaan terhadap salah seorang lelaki itu, menjumpai satu tiub straw berisi bahan disyaki heroin seberat 0.13 gram dalam poket sebelah kiri baju, yang pakai suspek,” katanya.
Kesemua tangkapan dibawa ke IPD Jempol untuk diambil tindakan lanjut, dan hasil ujian urin mendapati kesemua yang ditangkap adalah positif dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1), Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Bahaya 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!