Berpisah bukan alasan pinggir hak bapa jumpa anak

Sheikh Faleigh bersama anak-anaknya.
Sheikh Faleigh bersama anak-anaknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Perpisahan antara suami isteri bukan alasan meminggirkan hak seorang bapa untuk bertemu dengan anak-anak meskipun hubungan perkahwinan sudah berakhir.

Pengasas Bersama Persatuan Hak Bapa Malaysia (FRAM), Sheikh Faleigh Sheikh Mansor mendakwa, undang-undang yang berat sebelah memberi kesan terhadap emosi bapa tunggal.

Tambahnya, ada pasangan yang mendapatkan hak menjaga anak akan menggunakan alasan perintah mahkamah sehingga memburukkan hubungan dengan bapa mereka.

“Dalam sesetengah kes, bapa sangat sukar berjumpa anak mereka kerana diugut dan dilarang atas alasan takut dicederakan dan sebagainya.

“Perintah mahkamah Islam atau bukan Islam selalunya membenarkan berjumpa selama satu hari atau satu malam dalam tempoh dua minggu sekali.

“Kalau sebulan dua kali sahaja boleh berjumpa maka hanya 24 hari tempoh bersama anak. Anak yang sayang bapa boleh bertukar menjadi benci apabila sukar untuk berjumpa,” katanya kepada Sinar Harian sempena Hari Bapa yang disambut pada Ahad minggu ketiga bulan Jun setiap tahun.

Menurutnya, ibu bapa kepada pasangan yang bercerai perlu menjadi sistem sokongan buat anak mereka.

Tambah beliau, pihak berkuasa boleh menjadi orang tengah untuk membantu sekiranya berlaku konflik kedua-dua belah pihak.

"Pihak polis boleh memainkan peranan dengan memberi kerjasama dan bukan menghalang bapa bertemu dengan anak-anak.

“Sekiranya berlaku perceraian, keluarga boleh membantu dengan menasihati anak-anak mereka agar memberi peluang kepada pasangan masing-masing untuk bertemu dengan zuriat mereka,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!