Didik anak guna SOP surah Luqman

Muhammad Nasir (tengah) bergambar bersama warga sekolah dan ibu bapa yang hadir pada ceramah di Pasir Puteh.
Muhammad Nasir (tengah) bergambar bersama warga sekolah dan ibu bapa yang hadir pada ceramah di Pasir Puteh.
A
A
A
PASIR PUTEH - Ibu bapa perlu mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) berteraskan al-Quran dalam kehidupan harian bagi mewujudkan institusi keluarga sakinah dan mawaddah pada zaman teknologi yang mencabar ketika ini.

Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, mereka boleh mengambil panduan dan pedoman dalam setiap surah al-Quran seperti suruh Luqman pada ayat 13,14 dan 15.

Menurut beliau, surah itu mengajarkan cara didikan dan nasihat kepada anak-anak supaya sentiasa bertakwa dalam menjalani kehidupan.

“Dalam membentuk keluarga perlu betul-betul mentaati perintah Allah kerana tujuan utama masuk syurga satu keluarga, bukan sahaja ibu bapa bahkan keseluruhan ahlinya.

“Surah Luqman menceritakan seorang manusia yang tidak meninggalkan harta dan berpesan supaya anaknya bertakwa, mensyukuri nikmat Allah, menghormati ibu bapa, guru dan rakan taulan,” kata beliau pada Ceramah Motivasi Keibubapaan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jawa di sini pada Ahad.

Turut hadir, Guru Besar, Fadzilah Sidik, Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru, Mohd Faiez Mohd Fauzi serta hampir 600 ibu bapa juga penjaga kepada 1,028 murid sekolah berkenaan.

Muhammad Nasir berkata, usaha dakwah juga perlu dipergiatkan di negara ini dan Malaysia patut mencontohi Qatar sebagai negara Islam gah berdakwah melalui Piala Dunia sukan bola sepak.

Ujarnya, pendekatan itu amat penting dalam memperkasakan Islam dan melahirkan lebih ramai insan berakhlak mulia dan berintergriti.

“Kita boleh menjadi masyarakat yang bebas tanpa rasuah pada masa depan malah lebih bertawaduk kerana jiwa dipenuhi dengan al-Quran.

“Insya-ALLAH, kita mampu akan menjadi negara contoh,” kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!