Imigresen tahan 72 warga asing, tumpas sindiket bekal pekerja seks
SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket membekal wanita warga asing bagi tujuan perkhidmatan seks dalam satu operasi khas dilakukan pada Khamis.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh berkata, seramai 72 orang warga asing ditahan dalam operasi tersebut di lima lokasi berasingan di sekitar Cheras dan Kepong, Selangor.
Beliau berkata, operasi yang bermula jam 9.00 malam itu melibatkan pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
"Turut ditahan ialah tujuh orang lelaki tempatan yang bertindak sebagai 'kapten' dan penjaga premis.
"Operasi khas ini dijalankan berdasarkan maklumat dan risikan selama satu bulan ke atas sindiket yang membekalkan wanita warga asing untuk tujuan seks di sekitar kawasan Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mengulas lanjut, Ruslin berkata, warga asing yang ditahan terdiri daripada empat lelaki Vietnam, tiga lelaki Bangladesh, seorang lelaki India, wanita Vietnam (43), wanita Indonesia (15) dan wanita Thailand (6) yang berusia antara 25 hingga 42 tahun.
Jelasnya, kesemua wanita warga asing yang ditahan dipercayai menyediakan perkhidmatan seks kepada pelanggan.
Kata beliau, pemeriksaan awal mendapati kesemua yang ditahan melakukan pelbagai kesalahan seperti tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, pas lawatan sosial (PLS) tamat tempoh serta ada yang menyalahguna pas kemasukan.
Tambahnya, beberapa orang pelanggan warga tempatan turut berada di premis semasa serbuan dilakukan.
"Seramai 20 orang lelaki tempatan telah dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.
"Mereka adalah pelanggan yang berada di dalam premis tersebut semasa serbuan dilakukan," ujarnya.
Menurutnya lagi, pasukan operasi telah merampas 48 pasport Vietnam yang berada di premis dan sebuah kenderaan jenis SUV berwarna kelabu.
Jelasnya, kenderaan tersebut dipercayai digunakan untuk menghantar wanita warga asing ke tempat yang telah dipilih oleh pelanggan.
Selain itu kata beliau, pihaknya turut merampas wang tunai sebanyak RM6,275 dipercayai hasil bayaran khidmat seks di premis.
"Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan dan siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Paspot 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007(ATIPSOM)," katanya.
Mengulas mengenai modus operandi (MO), Ruslin berkata, sindiket tersebut beroperasi di premis perniagaan tiga tingkat dengan menjadikan tingkat satu sebagai tempat tinggal, manakala tingkat dua dan tingkat tiga sebagai tempat khidmat seks.
Katanya, pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat seks akan berurusan melalui aplikasi WhatsApp, seterusnya diberi kata laluan untuk masuk ke dalam premis.
Tegasnya, tanpa kata laluan, pelanggan tidak dibenarkan masuk oleh penjaga premis.
"Pelanggan diberikan pilihan mengikut kategori bilik dan jumlah jam tempahan.
"Bagi tempahan wanita warga asing, bayaran dikenakan sebanyak RM230 bagi tempoh satu jam," ujarnya.
Ruslin berkata, sindiket itu dipercayai telah beroperasi selama hampir dua tahun dan mengiklankan perkhidmatan seks menerusi laman sosial, WhatsApp dan Telegram.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!