Bau asap selamatkan 13 pelajar daripada rentung
KUALA SELANGOR - Tindakan pantas seorang pelajar perempuan terhidu bau asap dan percikan api berjaya menyelamatkan diri dan rakan lain dalam kebakaran di Sekolah Menengah Islam (SMI) Addimyati, Kampung Assam Jawa di sini pada Ahad.
Nisa Athirah Ahmad Ridzwan, 17, berkata, kejadian kira-kira jam 3.45 pagi itu berlaku ketika dia bersama 12 pelajar lain sedang lena tidur.
Bagaimanapun, katanya, dia terjaga daripada tidur sebaik terhidu bau asap kuat dalam asrama berkenaan.
"Sebaik terjaga saya terkejut melihat percikan api daripada kipas bilik yang jatuh ke tilam katil.
"Waktu itu saya cemas dan sempat kejutkan semua rakan keluar daripada asrama dan membunyikan siren kecemasan," katanya ketika ditemui pada Ahad.
Nisa Athirah memberitahu, dia bersyukur kerana semua rakan dan seorang warden wanita berusia 21 tahun itu terselamat dalam kebakaran itu.
Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, kejadian berlaku dalam sekelip mata dan hanya sempat menyelamatkan lima buku rujukan manakala semua pakaian dan barangan lain musnah.
Sementara itu, Pengetua SMI Addimyati, Mohd Anuar Fitri Jusoh berkata, ketika kejadian dia bersama isteri serta anak mereka berada di rumah guru yang hanya terletak kira-kira 30 meter daripada tempat kejadian.
Menurutnya, kebakaran itu dimaklumkan seorang warden asrama perempuan yang datang ke rumah.
"Saya dan isteri kemudian keluar dari rumah dan terkejut melihat kepulan asap tebal dari bangunan asrama.
"Mulanya saya cuba memadam kebakaran, namun membatalkan niat kerana api ketika itu marak ditambah bunyi percikan api kayu dipercayai membakar bahagian bumbung dan katil pelajar," kata beliau.
Mohd Anuar berkata, seramai 13 pelajar perempuan berada di dalam asrama itu dan seorang warden di bilik kecil di bangunan sama.
"Semua mereka sedang nyenyak tidur dan saya bersyukur kerana semuanya tidak tercedera dan selamat," jelas beliau.
Tambah beliau, kebakaran bangunan itu turut membabitkan surau, perpustakaan, bilik kuliah kecil dan sebahagian tandas.
Bagaimanapun, katanya, sebuah lagi bangunan asrama menempatkan 30 lagi pelajar perempuan tidak terjejas dalam kebakaran itu.
Ujarnya, kawasan sekolah seluas 0.4 hektar yang beroperasi pada tahun 2018 itu tidak pernah terlibat dalam kejadian kebakaran sebelum ini.
"Kita juga ada melatih dan memberi taklimat kepada pelajar tentang keselamatan kebakaran daripada bomba," kata beliau.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seramai 13 pelajar perempuan dan seorang warden SMI Addimyati, Kampung Assam Jawa di sini, cemas dalam kebakaran di bangunan asrama sekolah itu pada Ahad.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati api sedang marak memusnahkan bangunan teres satu tingkat kelas A yang dijadikan asrama sekolah.
Beliau memberitahu, kebakaran itu melibatkan kemusnahan 80 peratus dan berjaya dikawal jam 5.03 pagi Ahad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!