Malaysia negara makmur tetapi banyak 'bocor' - Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra Rakyat (RMR) di Kampung Jaya, Jalan Pasir Hor sempena lawatan kerja sehari beliau di Kelantan pada Ahad. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra Rakyat (RMR) di Kampung Jaya, Jalan Pasir Hor sempena lawatan kerja sehari beliau di Kelantan pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Perpaduan mahu golongan yang benar-benar layak sahaja menikmati subsidi bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan yang lebih baik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun Malaysia sebuah negara yang makmur tetapi mengalami kebocoran yang banyak termasuk pemberian subsidi.

"Negara ini makmur tetapi bocornya banyak.... percayalah. Subsidi untuk orang miskin tetapi yang disakau banyak, minyak makan disakau, diesel pun disakau, jadi sampai bila nak cukup," katanya.

Justeru, beliau mahu pihak penguat kuasa melaksanakan penguatkuasaan dengan baik.

"Bila kita boleh membina sekolah baharu dan universiti baharu jika subsidi dirompak," katanya.

Beliau turut memberi contoh kerajaan menanggung subsidi elektrik RM30 bilion tahun ini jika tidak dikawal.

“Begitu juga dengan Tabung Haji (TH), kenapa mereka yang bergaji RM50,000 sebulan perlu diberi subsidi. Jika tiada tindakan dilakukan, TH akan terus terbeban,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Khas kepada Penjawat Awam Negeri Kelantan pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Ketika ucapan sama, Anwar turut mengingatkan jabatan yang berkaitan sekolah mahu semua tandas di sekolah dibaiki dan siap tahun ini.

"Sebelum ini saya sudah memberi arahan supaya melatih pelajar mencuci tandas. Cuci tandas bukan untuk kelas orang paling rendah tetapi tidak mengira pangkat dan darjat," katanya.

Selain itu beliau memberitahu akan menyelesaikan masalah jumlah miskin tegar yang dilaporkan di Kelantan iaitu 21.2 peratus.

Beliau meminta pemimpin di peringkat akar umbi memberikan jumlah yang tepat.

"Kita mahu penjawat awam membantu untuk membawa perubahan kepada rakyat Kelantan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!