PRN: Rizam sedia pertahan DUN Sungai Air Tawar

Rizam (depan dua dari kiri) bergambar pada Majlis Pelepasan Konvoi DUN Sungai Air Tawar di Dewan Terbuka Sepak Takraw, Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam pada Ahad.
Rizam (depan dua dari kiri) bergambar pada Majlis Pelepasan Konvoi DUN Sungai Air Tawar di Dewan Terbuka Sepak Takraw, Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam pada Ahad.
A
A
A

SABAK BERNAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail bersedia diletakkan sebagai calon dan mempertahankan kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Rizam berkata, keputusan meletakkan calon ditentukan pucuk pimpinan parti, namun bersedia jika terpilih sebagai calon buat penggal kedua sejak 2018.

Bagaimanapun katanya, perkara itu terpulang kepada keizinan pucuk pimpinan parti yang membuat keputusan.

"Di peringkat UMNO bahagian (Sabak Bernam) kita bersedia menerima apa jua arahan daripada pucuk pimpinan dan menerima sesiapa sahaja nama yang akan dicalonkan bagi menghadapi PRN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Konvoi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar di Dewan Terbuka Sepak Takraw, Bagan Nakhoda Omar di sini pada Ahad.

Rizam yang juga Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam berkata, pada masa ini tumpuan beliau sudah tentu untuk memastikan gabungan Kerajaan Perpaduan di negeri ini dapat terus mendapat sokongan dan mandat rakyat.

Ditanya sama ada kerusi DUN Sungai Air Tawar kekal milik BN hasil rundingan bersama PH bagi menghadapi PRN Selangor, Rizam berkata, perkara itu diserahkan kepada pimpinan kedua-dua parti menentukan.

"Saya tidak berada dalam rundingan kerusi tersebut, tetapi sudah pasti kita berharap kerusi DUN Sungai Air Tawar kekal sebagai kerusi BN kerana kita menang pada PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14)," kata beliau.

Jelas beliau, pada masa ini kesiapsiagaan jentera BN termasuk sayap UMNO bahagian itu berada tahap 100 peratus.

Ujar beliau, fokus utama BN adalah bagi memastikan jentera dan semua sayap bergerak mendekati pengundi agar mereka terus yakin dengan perkhidmatan yang mampu diberikan Kerajaan Perpaduan di Selangor.

"Walaupun BN pernah menjadi pembangkang tetapi kita telah pun memberikan perkhidmatan sebaik mungkin kepada masyarakat DUN Sungai Air tawar," kata Rizam.

Mengulas mengenai saingan Perikatan Nasional (PN), Rizam berkata, sudah pasti pembangkang bersungguh-sungguh untuk mendapatkan sokongan rakyat, namun menyifatkan usaha tersebut bukanlah sesuatu yang mudah.

"Saya yakin dengan kekuatan Kerajaan Perpaduan ini, negeri Selangor akan kekal milik PH-BN," ujarnya.

Ditanya mengenai tanggungjawab beliau sebagai Ketua Pembangkang DUN Selangor sepanjang sepenggal lalu, Rizam berkata, sudah pasti peranan dimainkan beliau cukup besar terutama sebagai semak dan imbang kepada kerajaan negeri.

Tambahnya, peranan antara kerajaan dan pembangkang amat diperlukan dalam DUN bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang lebih baik dan berada pada landasan tepat.

"Kita dapat lihat negeri Selangor dipimpin PH, walaupun dulu saya (BN sebagai) pembangkang, mereka tetap meraikan pandangan dan pendapat kerana ini yang kita mahukan dan ia boleh menjadi contoh kepada kerajaan negeri lain," jelasnya.

Pada PRU14 lalu, Rizam mewakili BN memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 1,440 undi selepas memperoleh 5,437 undi menewaskan calon Pas, Zamri Yahya dan Mohd Hamizar Sulaiman (PH).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!