Kedudukan ekonomi Kedah berada di landasan betul - Sultan Kedah
ALOR SETAR - Kedudukan ekonomi Kedah berada di landasan betul apabila sasaran pelaburan tahunan negeri sebanyak RM10 bilion berjaya dicapai sejak dua tahun lepas secara berturut-turut.
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, baginda menyambut baik usaha bersungguh-sungguh dilakukan kerajaan negeri dalam merencana pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat Kedah.
Baginda menyuarakan, perancangan jitu melalui Pelan Pembangunan Kedah 2035 ternyata berjaya membantu Kedah dalam mendepani cabaran ekonomi dan geopolitik global yang tidak menentu dan mencabar.
"Kebijaksanaan barisan pimpinan kerajaan negeri mengguna pakai konsep 'never put all the eggs in one basket' dalam merancang komposisi ekonomi negeri agar tidak terlalu bergantung kepada satu sektor semata-mata menjadikan Kedah sebuah kuasa ekonomi berdaya tahan.
"Penumpuan khusus bagi sektor pembuatan melibatkan segmen elektrik dan elektronik, semikonduktor dan teknologi hijau telah menjadikan Kedah terus relevan dalam pasaran ekonomi global semasa dan masa hadapan," titah baginda.
Sultan Sallehuddin bertitah sedemikian sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-81 di Istana Anak Bukit, di sini pada Ahad.
Tambah baginda, pengukuhan sektor pertanian yang menjadi asas keperluan makanan negara telah menjadi 'life saver' kepada ekonomi negeri khususnya dalam tempoh Covid-19.
Sultan Sallehuddin bertitah, usaha berkenaan berjaya menampan penguncupan ekonomi negeri pada tahap minima dengan kadar negatif 1.8 peratus berbanding negara yang menguncup pada kadar negatif 5.5 peratus pada tahun 2020.
"Kemudian, pada tahun berikutnya pertumbuhan mulai pulih dengan negeri berjaya mencatat pertumbuhan positif pada kadar 3.2 peratus," titah Baginda.
Baginda berpandangan, sektor perkhidmatan yang merupakan kekuatan utama ekonomi Kedah dengan komposisi sebanyak 54.5 peratus daripada keseluruhan ekonomi negeri turut menjadi faktor sokongan yang kuat kepada sektor-sektor tumpuan lain untuk terus berkembang kukuh.
"Hasil komposisi ekonomi seimbang serta didukung ekosistem perniagaan dan pelaburan jitu telah membolehkan sasaran pelaburan tahunan negeri sebanyak RM 10 bilion berjaya dicapai sejak dua tahun lepas dan ini adalah petunjuk utama bahawa kedudukan ekonomi Kedah berada di landasan yang betul,"titah baginda.
Dalam titah baginda, Sultan Sallehuddin turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh penjawat awam negeri dan persekutuan, pegawai tadbir negeri (KCS) serta anggota keselamatan dan petugas kesihatan yang sentiasa komited dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab.
"Sentiasalah menabur bakti seikhlas hati serta berterusan menyokong usaha kerajaan dalam memajukan Kedah yang kita cintai," titah Sultan Sallehuddin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!