[VIDEO] 149 keluarga terima rumah baharu sebelum Aidiladha

Daim antara penerima kunci rumah baharu di Taman Datuk Hajjah Fatimah Salim, Benut.
Daim antara penerima kunci rumah baharu di Taman Datuk Hajjah Fatimah Salim, Benut.
A
A
A

PONTIAN - Hampir 10 tahun menunggu, akhirnya 149 keluarga di tiga kampung yang diancam banjir akibat fenomena air pasang menerima kunci rumah baharu masing-masing pada Ahad.

Tiga kampung berkenaan ialah Kampung Nelayan, Kampung Sri Tanjung dan Kampung Sungai Sanglang.

Kunci bagi kediaman jenis berkembar bernilai RM150,000 di Taman Datuk Hajjah Fatimah Salim itu diserahkan sendiri Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Dewan Serbaguna Benut.

Penerima, Mardiah Ambok Loh, 64 dan suami, Hamid Kasim, 75, bersyukur impian untuk mendapatkan rumah baharu selepas lebih 30 tahun mendiami rumah usang di Kampung Sri Tanjung, akhirnya tercapai.

"Rumah lama sudah reput akibat kerap dilanda banjir susulan fenomena air pasang besar yang kerap berlaku. Sementara waktu ini, kami sekeluarga menumpang tinggal di rumah saudara di Taman Sri Mahkota, Benut.

Mardiah (kanan) dan Hamid (kiri) menerima kunci rumah baharu di Dewan Serbaguna Benut.
Mardiah (kanan) dan Hamid (kiri) menerima kunci rumah baharu di Dewan Serbaguna Benut.

"Tidak sangka, saya dapat rumah baharu sebelum Aidiladha. Suami yang kini berkerusi roda kerana sakit saraf sangat seronok dapat berpindah ke rumah lebih selesa bersama tiga orang anak dan cucu," katanya.

Bagi Daim Kamdar, 60, dia bersama tiga anak dan isteri tidak sabar untuk berpindah ke rumah baharu bagi membuat persediaan menyambut hari raya haji.

"Sejak kecil saya tinggal di Kampung Sri Tanjung. Rasa sedih sebab akan tinggal rumah yang menjadi tempat saya dan anak-anak membesar.

"Saya hanya bekerja sebagai pemandu bas, syukur Alhamdulillah, kerajaan banyak bantu kami sekeluarga dan penduduk kampung di sini memiliki kediaman baharu lebih selesa," katanya.

Penerima, Zaiton Ismail, 43, tidak mampu menggambarkan perasaannya kerana terlalu gembira melihat rumah baharu yang didiami bersama adik beradiknya dan ibu Junaidah Bahrom, 63.

"Ibu tidak dapat untuk mengambil kunci rumah kerana sakit kaki. Sekarang saya tinggal bersama ibu dan lima beradik. Apabila air pasang melanda bilik air dan dapur akan rosak.

"Rumah baharu yang lebih selesa merupakan hadiah untuk ibu dan kami tidak sabar untuk berpindah serta meraikan hari raya haji di sana," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!