Mara tak ambil mudah laporan ketirisan urus tadbir
JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan pihaknya tidak mengambil mudah berhubung laporan berlaku ketirisan dalam urus tadbir institusi berkenaan sebagaimana terkandung dalam surat layang yang tular di media sosial, pada Sabtu.
Menurut Asyraf Wajdi, pihaknya tidak mahu nama baik Mara sebagai sebuah institusi yang selama ini membawa amanah rakyat diperlekehkan sedemikian rupa.
Malah katanya, memegang jawatan selaku Pengerusi Mara mulai April lalu, urus tadbir di institusi berkenaan dilihat berada pada tahap terbaik.
“Sebelum ini, saya berpuas hati dengan urus tadbir Mara yang cukup ketat dan kita akan pastikan ia terus begitu.
“Jadi apa juga andaian, kita akan perhalusi dan tidak ambil mudah... dalam konteks ini ia melibatkan surat layang tersebut.
“Walaupun cuma surat layang, kita akan cuba sedaya upaya untuk membersihkan nama baik Mara,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata demikian sempena program Walkabout ke Karnival Institusi Pendidikan Mara Negeri Johor di Plaza Larkin di sini pada Ahad.
Hadir sama, Pengarah Mara negeri, Nor Uyon Shoib; Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah dan Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) Mara negeri, Razlan Samsuri.
Untuk rekod, surat layang tersebut yang dihantar terus ke pejabat Pengerusi Mara itu memohon agar Asyraf Wajdi menjalankan siasatan khususnya ke atas pengurusan Mara khususnya di sektor keusahawanan.
Antara lain, kandungan surat layang berkenaan turut mengatakan barisan pengurusan tertinggi Mara hari ini adalah pengurusan yang sangat gagal dan tidak berani membuat sebarang keputusan berkaitan kerja yang bakal memberikan impak kepada perjalanan dan pengoperasian Mara kelak.
"Penggunaan bajet yang tidak telus menyebabkan banyak projek/program untuk rakyat tidak dapat dijalankan sepenuhnya. Kebanyakan bajet hanya akan diluluskan segera sekiranya program berkenaan melibatkan tetamu VIP terutamanya Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi," ujarnya.
Sementara itu Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, Mara telah membuat penambahbaikan dengan pelantikan baharu di peringkat Ahli Majlis bagi mengetuai pelbagai jawatankuasa di bawahnya.
Katanya, antara individu yang dilantik melibatkan, bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan manakala pakar ekonomi, Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan.
“Ini adalah contoh usaha Mara untuk memastikan urus tadbirnya berada di tahap terbaik, prinsip saya tak boleh ada sebarang ketirisan dan salah laku.
“Sasaran kita ialah sifar rasuah serta turut melibatkan isu integriti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!