'Kereta Rahmah' bukan alasan abai ciri keselamatan - Ka Siong

Ka Siong - Foto Bernama
Ka Siong - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menggesa agar pengeluar kenderaan tidak mengetepikan aspek keselamatan pengguna sekalipun menawarkan harga yang murah.

Menurutnya, walaupun kenderaan mampu milik ditawarkan dengan harga serendah RM22,000, namun ia perlu dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan kawalan kestabilan elektronik (ESC) demi keselamatan pengguna dan orang ramai.

Sehubungan itu, beliau berharap Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua) melihat kembali model baharu kereta keluarannya yang didakwa didatangkan tanpa ciri keselamatan seperti ABS, (Agihan Brek Elektronik) EBD, dan ESC tersebut.

"Saya puji syarikat pembuat kenderaan yang sentiasa memikirkan keperluan dan memahami kesukaran rakyat dengan mengeluarkan kenderaan mampu milik.

"Namun, janganlah kita berkompromi apabila ia menyentuh soal keselamatan pemandu, penumpang termasuk pengguna jalan raya yang lain.

"Spesifikasi tertentu seperti ABS, ESC dan Agihan Brek Elektronik - EBD (subsistem kepada ABS dan ESC) tidak boleh diketepikan sama sekali hanya kerana mahu menjadikan kenderaan tersebut sebagai ‘Kereta Rahmah’,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Beliau turut berkongsi mengenai laporan berhubung kenderaan tersebut yang tidak didatangkan dengan ABS, EBD, and ESC.

Dalam masa sama, beliau memberitahu supaya kerajaan perlu mencari lebih banyak cara membantu orang ramai mendapatkan kenderaan berikutan banyak isi rumah berpendapatan rendah terhimpit dalam kewangan mereka.

“Tetapi mengurangkan spesifikasi keselamatan kenderaan bukanlah penyelesaiannya. Janganlah kita berkompromi apabila ia menyentuh soal keselamatan pemandu, penumpang termasuk pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Ka Siong menambah, kajian menunjukkan bahawa ESC dan teknologi anti gelincir lain bagi kenderaan boleh menghalang kira-kira 40 peratus kematian dan perlanggaran daripada kemalangan akibat hilang kawalan.

Justeru, beliau khuatir akan berlaku banyak insiden berbahaya sekiranya banyak aspek keselamatan sedemikian dibuang.

"Saya membangkitkan kebimbangan ini dengan harapan Kerajaan akan memastikan kenderaan terus mengekalkan ciri keselamatan asas ini dalam kenderaan penumpang baharu. Jangan pula kita bergerak ke belakang dalam perkara penting seperti ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!