PM bincang dengan KPT benarkan konsert terkawal di IPTA

Anwar (tengah) berswafo bersama para penuntut pada Program Temu Anwar di Bachok.
Anwar (tengah) berswafo bersama para penuntut pada Program Temu Anwar di Bachok.
A
A
A

BACHOK - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkaitan isu penganjuran konsert yang bersesuaian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Beliau berkata, pertemuan akan diadakan pada Rabu dan penting bagi memberikan sedikit kelonggaran kepada golongan berkenaan.

Menurut Anwar, perbincangan bagaimanapun mungkin terarah kepada kebenaran untuk penganjuran konsert yang masih terkawal dan berunsurkan kebudayaan.

“Perlu sedikit ruang kebebasan diberikan kepada mereka tetapi jangan sampai keterlaluan.

“Konsert itu tidak boleh ada gejala yang agak melampau atau kerosakan. Kalau setakat nak mendengar lagu, tak jadi masalah,” katanya menjawab soalan daripada salah seorang penuntut IPTA pada Program Temu Anwar di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini pada Sabtu.

Anwar (tengah) dikerumuni penuntut IPTA di UMK pada Ahad.
Anwar (tengah) dikerumuni penuntut IPTA di UMK pada Ahad.

Menurutnya, beliau juga akan melihat semula salinan arahan yang dikeluarkan oleh pihak universiti terbabit berkaitan insiden yang berlaku di Terengganu tersebut.

Anwar juga menegaskan kelonggaran tersebut tidaklah hingga menjurus ke arah kerosakan akhlak anak-anak muda.

Baru-baru ini, tular rakaman video sebuah konsert yang berlangsung di dalam dewan institusi terbabit berdurasi 37 saat memaparkan gelagat penuntut lelaki dan perempuan berhibur sambil menari hingga menarik perhatian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!