PKR Terengganu optimis tawan beberapa kerusi DUN - Nik Nazmi
KUALA TERENGGANU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu optimis parti itu mempunyai potensi untuk menang di beberapa kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Terengganu dan Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia berdasarkan rekod prestasi, faktor demografi serta tinjauan dan penyelidikan pihaknya selain sejarah kemenangan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar.
"Jadi kita minta supaya PKR diambil serius oleh sahabat-sahabat dalam Barisan Nasional (BN)... Kita pun ada sejarah di Terengganu, dari awal ditubuhkan kita ada kerusi... bagi kita penting untuk kita ada kehadiran di sini.
"Bagi saya, PKR ada beberapa kelebihan secara amnya, saya tidak boleh sebutkan secara terperinci tapi contohnya di DUN Bandar, pernah menang (2013-2018). Biasanya kerusi PKR ni kerusi agak urban... itu kita rasa kekuatan PKR," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Temu Mesra di Pejabat PKR Cabang Kuala Terengganu di sini hari ini.
Nik Nazmi juga berkata, persoalan siapa yang (mendapat) banyak atau sedikit (kerusi) tidak sepatutnya timbul sebaliknya apa yang penting ialah parti yang berpeluang untuk menang besar.
Beliau berkata, proses pengagihan kerusi DUN antara BN dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah mungkin selesai dalam seminggu dua lagi.
Naib Presiden PKR itu berkata, pihaknya berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin kerana proses pembubaran DUN di negeri terbabit sudah semakin hampir.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, BN menang 10 daripada 32 kerusi DUN Terengganu manakala bakinya iaitu 22 kerusi dikuasai Pas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!