Harimau Malaya bakal tampil lebih garang
AKSI lebih bertenaga dan garang bakal dipamerkan Harimau Malaya ketika menentang Papua New Guinea dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Selasa ini.
Pemain tengah Stuart Wilkin berkata, dia dan rakan-rakan sepasukannya sedar peminat mahukan Harimau Malaya mempamerkan aksi berbeza berbanding ketika menentang Kepulauan Solomon.
“Ranking dunia kita lebih baik namun saya percaya mereka akan hadir dengan permainan yang lebih baik dan mereka turut ada kelebihan dari segi fizikal.
“Kami akan berikan aksi terbaik dan tahu harapan peminat pastinya tinggi mahukan kemenangan lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri.
“Jadi kami akan letakkan harapan itu sebagai cabaran utama dalam setiap perlawanan bagi memastikan kemenangan berpihak kepada skuad Harimau Malaya,” katanya.
Malaysia memulakan aksi persahabatan kali ini dengan menampilkan aksi bertenaga ketika menentang pasukan di tangga ke-134 dunia, Kepulauan Solomon 4-1.
Rentak kemenangan itu semestinya mahu diteruskan oleh skuad kendalian Kim Pan-gon ketika menentang Papua New Guinea yang kini menghuni ranking ke-159 dunia.
Dalam pada itu, Stuart mengakui bahawa saingan sengit dalam pasukan negara terutama di posisi tengah, namun percaya mampu menembusi skuad Harimau Malaya,
“Saya secara peribadi mahu tingkatkan kualiti permainan saya sekiranya diberikan peluang beraksi lagi menentang Papua New Guinea.
“Saya tahu ramai pemain tengah yang berkualiti dalam pasukan negara dan saya akan berusaha merebut posisi tersebut,” ujar tonggak Sabah FC itu.
ARTIKEL BERKAITAN:
Harimau Malaya bangkit benam Kepulauan Solomon
5,000 tiket aksi Harimau Malaya, Kepulauan Solomon terjual
Media antarabangsa cadangkan gol Safawi ke Anugerah Puskas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!