Sepanyol julang trofi Liga Negara-Negara
JURULATIH berpengalaman, Luis de la Fuente menutup mulut pengkritik apabila membimbing Sepanyol merangkul kejuaraan Liga Negara-Negara selepas menewaskan Croatia 5-4 menerusi sepakan penalti awal pagi Isnin.
De la fuente dikritik hebat pada Mac susulan kekalahan kepada Scotland dalam kelayakan Euro 2024.
Ia juga menebus kekecewaan tewas kepada Perancis pada final 2021.
Dani Carvajal muncul wira Sepanyol apabila meledak penalti ala Panenka dalam perlawanan akhir di Rotterdam, Belanda setelah kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada masa sebenar permainan.
Penjaga gol Sepanyol, Unai Simon menafikan sepakan Lovro Mayer dan Bruno Petkovic, sebelum Carvajal memastikan kemenangan untuk trofi pertama mereka sejak Euro 2012.
Croatia yang dikendali Zlatko Dalic, naib juara Piala Dunia 2018 dan ketiga pada edisi 2022, belum pernah memenangi kejohanan utama dan Liga Negara-Negara.
Malah final itu juga adalah peluang terbaik buat kelompok pemain veterannya termasuk kapten, Luka Modric, yang beraksi untuk kali ke-166 bersama negaranya menamatkan kemarau kejuaraan.
"Ini adalah peluang unik, kami tersingkir awal dalam satu lagi kejohanan (Piala Dunia Qatar) dan hari ini (Isnin) kami memanfaatkan peluang itu.
"Kami yakin dengan penalti dan ia berjalan lancar, saya tahu bagaimana untuk menyempurnakannya.
"Saya tahu akan menjadi pemain kelima. Saya mahu mengambilnya gaya Panenka dan ia berhasil," ujar Carvajal yang merupakan pemain pertahanan, Real Madrid.
Sepanyol adalah negara kedua berjaya memenangi Piala Dunia, Euro dan Liga Negara-Negara, selepas Perancis pada tahun 2021.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!